89 peratus rakyat Malaysia membeli barang dipengaruhi cadangan pempengaruh | DagangNews Skip to main content

89 peratus rakyat Malaysia membeli barang dipengaruhi cadangan pempengaruh

Teknik pemasaran oleh pempengaruh bukan lagi sekadar pilihan, namun adalah keperluan.
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 7 Okt - Sekitar 89% rakyat Malaysia dipengaruhi cadangan pempengaruh atau influencer untuk membeli barangan terutamanya dalam produk kesihatan, kesejahteraan dan makanan (93%), berita dan kesusasteraan (92%), perkhidmatan haiwan peliharaan dan temujanji yang kedua-duanya 91%.

 

Perkara itu didedahkan dalam satu laporan bertajuk Pemasaran Influencer E-dagang di Asia Tenggara yang dikeluarkan oleh platform pengurusan kerjasama terkemuka dunia, impact.com bersama penyedia penyelidikan pasaran e-dagang untuk Asia Tenggara, Cube Asia. 

 

Berdasarkan penemuan utama tersebut, jenama-jenama harus bekerjasama secara strategik dengan pempengaruh untuk memperbesar penglibatan dan memanfaatkan minat pengguna yang kuat dalam kategori penting itu.

 

Selain itu, laporan terbabit juga mendapati, TikTok mendominasi platform perdagangan langsung teratas di Malaysia pada 80%, diikuti oleh Shopee pada 69%. 

 

Kedua-dua platform itu menjadi pilihan kira-kira 75% rakyat Malaysia kerana menawarkan promosi dan diskaun yang menarik minat pembeli. 

 

Seterusnya, sebanyak 64% pengguna Malaysia dipengaruhi oleh ulasan produk semasa sesi jualan secara langsung sekali gus menekankan kepentingan ulasan produk yang terperinci oleh pempengaruh.

 

Dalam laporan sama, kira-kira 57% rakyat Malaysia membuat tempahan penginapan dan 55% membeli aktiviti dan tarikan pelancongan dalam 12 bulan lepas, memperlihatkan keberkesanan pempengaruh dalam industri pelancongan tempatan.

 

Bagi bidang pendidikan dan perkhidmatan dalam talian, peranan pempengaruh berjaya menarik sekitar 79% rakyat Malaysia berdaftar untuk kursus tertentu.

 

Laporan berkenaan mendalami landskap e-dagang yang sedang berkembang di Asia Tenggara, menyoroti kepentingan pemasaran influencer dalam menyebarkan kewujudan jenama dan penglibatan pengguna.

 

Menurut laporan itu, penggunaan media sosial dan impak pempengaruh di Malaysia adalah jauh lebih rendah berbanding purata serantau. 

 

Maklumat daripada tinjauan terhadap 400 dewasa Malaysia yang berumur 18 ke atas mendedahkan, YouTube adalah platform paling popular dengan penggunaan sebanyak 87%, diikuti oleh Facebook dan TikTok, masing-masing pada 80% sementara Instagram pada 74%.

 

Dari segi impak influencer, kedua-dua influencer selebriti dan mega mempunyai pengaruh yang ketara di Malaysia, dengan 62% dan 61% responden menyatakan mereka memberi pengaruh kuat terhadap keputusan pembelian. 

 

Namun, hanya 75% rakyat Malaysia membuat pembelian berdasarkan cadangan pempengaruh, berbanding 82% di peringkat serantau. 

 

Kategori yang paling dipengaruhi pempengaruh adalah fesyen dan kecantikan dengan 65% dan 61% pembelian, walaupun keseluruhan impak pempengaruh di Malaysia adalah kurang ketara berbanding negara Asia Tenggara yang lain.

 

Pengurus Besar impact.com di Asia Tenggara dan India, Antoine Gros berkata, lanskap e-dagang di Asia Tenggara sedang berubah dengan cepat, bergerak dari sekadar pengembangan kepada keperluan kritikal untuk pembezaan strategik. 

 

"Saluran pengiklanan tradisional semakin kehilangan impak kerana perhatian pengguna beralih kepada kandungan yang lebih boleh dipercayai dan menarik. Teknik pemasaran oleh pempengaruh bukan lagi sekadar pilihan, namun adalah keperluan. 

 

"Laporan terbaharu kami mendedahkan satu kebenaran iaitu pempengaruh membantu jualan bukan sahaja dalam barang fizikal, tetapi juga dalam sektor berpotensi tinggi seperti perjalanan dalam talian dan perkhidmatan langganan," katanya dalam satu kenyataan. - DagangNews.com