Agrobank jalin kerjasama dengan Ning Planters dan Sarawak Incorporated pacu industri penanaman nanas | DagangNews Skip to main content

Agrobank jalin kerjasama dengan Ning Planters dan Sarawak Incorporated pacu industri penanaman nanas

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUCHING 18 Nov - Agrobank pada Sabtu memeterai perjanjian strategik bersama Ning Planters Sdn Bhd dan Sarawak Incorporated Sdn Bhd untuk memacu landskap pertanian negara, khususnya dalam industri penanaman nanas.

 

Menurut Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank Dato’ Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin, pemeteraian perjanjian itu merupakan langkah strategik dalam memperkasakan industri nanas negara yang menyumbang kepada keterjaminan makanan.

 

Katanya, Agrobank sebagai peneraju dalam sektor perbankan pertanian, menawarkan kemudahan pembiayaan kepada usahawan tani B40 di bawah penyeliaan Ning Planters Sdn Bhd dan Sarawak Incorporated Sdn Bhd. 

 

Jelas beliau, skop pembiayaan yang ditawarkan merangkumi perniagaan yang berkaitan pertanian pintar, penggunaan mekanisasi, aktiviti pemprosesan dan bioteknologi berasaskan pertanian serta pembangunan agropelancongan.

 

"Malaysia memiliki kelebihan yang unik dalam industri nanas yang perlu dimanfaatkan  sepenuhnya. Dengan permintaan global yang semakin meningkat, ini membuka peluang yang luas untuk Malaysia mengukuhkan kedudukannya sebagai pengeluar dan pengeksport nanas yang utama. 

 

"Komitmen Agrobank dalam menyediakan pembiayaan dan sokongan yang menyeluruh akan membantu melahirkan lebih ramai usahawan dalam sektor ini, seterusnya memacu pertumbuhan eksport dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara," katanya dalam satu kenyataan.

 

Kerjasama strategik tersebut membolehkan Agrobank meluaskan impak sosial kepada komuniti petani di samping menjadi pemangkin dalam penghasilan nanas yang mampan dan berkualiti tinggi. 

 

Agrobank berharap usaha sama yang dijalinkan dengan Ning Planters Sdn Bhd dan Sarawak Incorporated Sdn Bhd itu dapat melahirkan lebih ramai usahawan tani yang berminat untuk menceburi industri penanaman nanas yang seterusnya mewujudkan ekosistem pertanian tempatan yang lebih berdaya saing dan mengurangkan kebergantungan import. - DagangNews.com