KUALA LUMPUR 7 Jan - Pakar penjagaan kesuburan terkemuka, Alpha IVF Group Berhad (Alpha IVF) memulakan operasi pejabat wakil jualan kedua di Guangzhou, wilayah Guangdong, China, selepas kejayaan membuka pejabat jualan pertama di Shanghai pada 4 September tahun lalu.
Pejabat jualan di Shanghai menunjukkan potensi besar melalui pendekatan yang lebih lokal apabila jumlah pengambilan oosit (Oocyte Pick Ups-OPU) dari pelanggan China ke pusat kumpulan di Kuala Lumpur (Alpha KL) meningkat sebanyak 33% kepada 120, berbanding 90 pada suku pertama yang berakhir 31 Ogos 2024 (1Q25).
Ia sekali gus menekankan keberkesanan pejabat jualan tempatan dalam meningkatkan jumlah pelanggan ke Alpha KL.
Berdasarkan momentum itu, pembukaan pejabat jualan baharu di Guangzhou juga dijangka dapat mempertingkat jumlah OPU dari China.
Pengarah Urusan Kumpulan Alpha IVF Group Berhad, Dato’ Dr Colin Lee Soon Soo berkata, pembukaan pejabat baharu di Guangzhou yang memiliki 15 juta penduduk, membolehkan penjagaan kesuburan lebih mudah diakses oleh keluarga di seluruh China.
"Kami bersedia memperluas lagi capaian kami dan mencipta lebih banyak peluang bagi pelanggan di China yang mahu hamil menerusi teknologi IVF kami yang menyeluruh dan maju," katanya.
China terus menjadi pasaran pertumbuhan penting bagi Alpha IVF, didorong oleh permintaan yang semakin meningkat untuk perkhidmatan rawatan kesuburan.
Pembukaan pejabat jualan baharu itu mengukuhkan komitmen kumpulan untuk menyediakan jalan yang lebih mudah diakses bagi keluarga di China yang mencari penjagaan kesuburan bertaraf dunia.
Sama seperti pejabat jualan di Shanghai, pejabat jualan di Guangzhou akan bertindak sebagai platform strategik bagi kumpulan untuk memperkenalkan perkhidmatan kesuburan kepada penduduk di China.
Perkhidmatan kesuburan maju itu termasuk Ujian Genetik Pra-implantasi untuk Aneuploidi (PGTA) dan Pengaktifan In-vitro (IVA) untuk menyokong pasangan yang lebih berusia mendapatkan anak. - DagangNews.com