ATM pilih helikopter AW149 ganti Nuri, TUDM beli pesawat CSAR baharu | DagangNews Skip to main content

ATM pilih helikopter AW149 ganti Nuri, TUDM beli pesawat CSAR baharu

Helikopter Leonardo AW149 jadi pilihan ganti Nuri.
FOKUS BERITA oleh ZAKI SALLEH

Penantian lebih lima tahun untuk mendapatkan penggantian helikopter Sikorsky S-61A-4 Nuri bakal berakhir apabila Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akhirnya membuat keputusan pemilihan pesawat yang sesuai.

 

ATM melihat helikopter Leonardo AW149 sebagai calon bagi menggantikan peranan Nuri untuk kegunaan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

 

Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman berkata, rancangan perolehan helikopter baharu TUDM melibatkan 24 buah pesawat yang dilaksanakan secara berfasa.

 

Fasa 1 melibatkan 12 buah helikopter mencari dan menyelamat tempur (CSAR) berkeupayaan utiliti dan baki 12 buah helikopter pada fasa 2.

 

Helikopter
Helikopter AW149.

 

Helikopter
Helikopter Sikorsky Nuri TUDM.
​​​​​​

 

Katanya, 12 helikopter CSAR berkeupayaan utiliti pada fasa pertama telah diluluskan kerajaan melalui pembentangan Belanjawan 2023.

 

“Fasa 2 telah diawalkan yang mana kerajaan meminta TUDM mengikuti program perolehan helikopter untuk kegunaan kementerian atau agensi kerajaan secara penswastaan.

 

“Ia melalui kaedah pajakan aset yang diselaraskan oleh Unit Kerjasama Awam Swasta Jabatan Perdana Menteri dan Majlis Keselamatan Negara.

 

“Jenis helikopter yang dimuktamadkan melalui mesyuarat Jawatankuasa Awam Swasta kepada TUDM ialah Leonardo AW 149 yang berkeupayaan melaksanakan penugasan mencari dan menyelamat serta utiliti," katanya semasa sidang akhbar selepas menghadiri Perbarisan Hari ATM ke-91 di Kem Segenting, Port Dickson, Negeri Sembilan.

 

Helikopter
Nahas membabitkan helikopter Nuri di Kem Gubir, Perak pada 2019.

 

Walaupun tiada penjelasan secara terperinci tetapi apa yang difahami berdasarkan kenyataan tersebut ialah TUDM bakal menerima dua helikopter berbeza.

 

Fasa 1 melibatkan pembelian 12 helikopter CSAR dan berikutnya 12 lagi helikopter utiliti secara sewaan.

 

Perkara ini relevan memandangkan helikopter CSAR mempunyai ciri-ciri lebih spesifik, peralatan lebih khusus termasuk dilengkapi sistem persenjataan.

 

Ini kerana helikopter utiliti biasa walaupun mempunyai kemampuan melaksanakan penugasan mencari dan menyelamat tetapi tidak boleh menjalankan tugas CSAR.

 

TUDM juga memerlukan helikopter CSAR bagi kedua-dua wilayah di Semenanjung dan Sabah Sarawak.

 

Helikopter
Helikopter AW139 TUDM yang disewa sebagai pesawat utiliti.

 

Helikopter

 

Helikopter Nuri memiliki enjin berkembar dan pelbagai gunaa yang mula berkhidmat sejak 1961 dan ditamatkan perkhidmatan pada 7 Januari 2020.

 

TUDM pernah mengoperasikan 4 buah skuadron helikopter Nuri dengan jumlah 40 buah pesawat yang menjadi kuda udara utama ATM pada masa itu.

 

Disebabkan usia pesawat dan pernah terlibat dalam beberapa kemalangan maka kerajaan pada 18 Julai 2007 memutuskan Nuri diganti dengan pesawat baharu.

 

Pada 27 September 2008, kerajaan mengumumkan pembelian 12 buah helikopter Eurocopter EC725 Cougar daripada 24 buah yang dirancang.

 

Bagaimana pun, pembelian kecil ini tidak dapat menampung keperluan operasi, maka khidmat Nuri diteruskan oleh TUDM termasuklah bersama Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD).

 

Helikopter

 

Pada Januari 2022, kerajaan menyewa helikopter Leonardo AW139 itu untuk tempoh antara empat hingga lima tahun sebagai langkah jangka pendek sementara melaksanakan pembelian 24 buah helikopter baharu menggantikan Nuri.

 

Langkah ini mengurangkan kebergantungan ATM terhadap 12 buah helikopter EC725AP untuk tujuan latihan dan operasi. 

 

Maka jam penerbangan pesawat, kos operasi dan senggara helikopter-helikopter ini juga menjadi lebih efektif.

 

Penerimaan helikopter AW 139 secara sewaan ini adalah berkonsepkan ‘Government Operate, Company Own and Maintain’ (GOCOM) dari pihak Westar Aviation Services Sdn. Bhd.

 

Melalui kaedah sewaan ini, tempoh masa untuk melaksanakan proses perolehan termasuk berkaitan tender serta pembinaan aset dapat dikurangkan.

 

Helikopter
Helikopter H225M TUDM menjadi tulang belakang dalam operasi udara ketika ini.

 

Helikopter
H225M boleh melaksanakan pelbagai operasi termasuk CSAR.

 

Melihat pada spesifikasinya, AW149 ialah helikopter tentera pelbagai peranan bersaiz sederhana generasi terkini yang menggabungkan teknologi terkini dan ciri-ciri keselamatan.

 

Helikopter ini mempunyai keupayaan yang sangat berkesan sepertimana diperlukan angkatan tentera masa kini.

 

Tentera Britain dan Poland juga memilih AW149 sebagai pesawat pengangkut utama tenteranya.

 

Helikopter AW149 adalah lebih besar berbanding AW139 yang disewa TUDM.

 

Helikopter
Peranan CSAR memerlukan helikopter yang khusus.

 

Helikopter
Helikopter H225 mampu melakukan pengisian minyak di udara.

 

Disebabkan belum ada penjelasan terperinci daripada Kementerian Pertahanan (Mindef) berhubung sewaan helikopter AW149 ini maka timbul apakah varian yang bakal digunakan ATM.

 

Ini kerana terdapat dua varian iaitu AW149 versi helikopter tentera atau AW189 iaitu varian helikopter komersial dengan reka bentuk dan saiz yang sama.

 

Berhubung pembelian 12 helikopter CSAR baharu pula, kalangan pemerhati membayangkan pilihan TUDM ialah pada helikopter Airbus H225M (EC725 Caracal).

 

Sekiranya benar, ini merupakan keputusan yang bijak memandangkan TUDM telah berpengalaman mengendalikan 12 buah helikopter H225M dengan cemerlang. - DagangNews.com