Persatuan penyedia dompet digital seru kerajaan lanjutkan pengecualian SST | DagangNews Skip to main content

Persatuan penyedia dompet digital seru kerajaan lanjutkan pengecualian SST

Persatuan Penerbit E-Wang (Aemi) menyeru kerajaan untuk melanjutkan pengecualian cukai SST bagi merangsang pertumbuhan ekonomi.
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 7 Okt - Persatuan Penerbit E-Wang (Aemi) atau penyedia dompet digital, menyeru kerajaan untuk melanjutkan pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) ke atas transaksi dompet digital di bawah Belanjawan 2025 bagi merangsang pertumbuhan dan inklusiviti.

 

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Aemi menyatakan bahawa industri dompet digital berada di barisan hadapan transformasi digital negara dan cadangan utama Aemi untuk Belanjawan 2025 bertujuan untuk memacu pertumbuhan, aksesibiliti dan peranan penting industri ini dalam ekonomi yang lebih inklusif.

 

Menurut Bank Negara Malaysia (BNM), terdapat 49 penyedia e-wang bukan bank di Malaysia pada masa ini.

 

"Industri dompet digital telah memainkan peranan penting dalam memajukan inklusi kewangan dan transformasi digital di Malaysia.”

 

"Ahli Aemi berperanan penting dalam menyediakan perkhidmatan kewangan digital kepada pelbagai kelompok pengguna termasuk kumpulan B40 dan M40 serta perusahaan mikro-SME. 

 

"Segmen ini adalah pelengkap kepada ekonomi negara dan berpotensi mendapat manfaat yang signifikan daripada perkhidmatan tanpa tunai yang mudah diakses," tambahnya.

 

Aemi menyatakan, untuk mengekalkan momentum dan memastikan akses seluas mungkin kepada penyelesaian kewangan digital, adalah penting untuk mengekalkan dasar yang mempromosikan pertumbuhan dan inklusiviti.

 

Persatuan itu mengiktiraf usaha kerajaan untuk meluaskan asas cukai bagi pembangunan nasional dan percaya bahawa inisiatif tersebut akan terus menyokong perkembangan perkhidmatan tanpa tunai.

 

Ia menyatakan bahawa pengecualian SST yang sedia ada adalah penting dalam menjadikan perkhidmatan kewangan digital lebih mampu milik dan Aemi berharap bahawa lanjutan pengecualian itu akan lebih memajukan inklusi digital.

 

Mulai 1 Mac 2024, kadar cukai perkhidmatan telah meningkat dari 6 peratus kepada 8 peratus. - DagangNews.com