Bank Islam buka hab iTEKAD di UiTM Cawangan Sarawak, sediakan latihan buat usahawan mikro | DagangNews Skip to main content

Bank Islam buka hab iTEKAD di UiTM Cawangan Sarawak, sediakan latihan buat usahawan mikro

Gambar/ Universiti Teknologi MARA Cawangan Sarawak
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUCHING 18 Nov - Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) mengumumkan pelancaran Hab Usahawan iTEKAD baharu di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak yang berperanan sebagai pusat sehenti latihan dan bimbingan untuk usahawan mikro tempatan, khasnya golongan B40 dan asnaf. 

 

Ia merupakan hab ketiga selepas pembukaan hab di Kolej Universiti Bestari (UCB) di Setiu, Terengganu dan Institut Penyelidikan dan Pengurusan Kemiskinan (InsPeK), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), masing-masing pada 5 Ogos dan 11 November 2024. 

 

Pelancaran berkenaan disempurnakan oleh Pemangku Rektor UiTM Cawangan Sarawak, Prof Madya Dr Mohammad Isa Mohamadin dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam, Dato’ Mohd Muazzam Mohamed pada Karnival Celik Kewangan Sarawak bertempat di Vivacity Megamall, Kuching, Sarawak pada Sabtu.


  
Kerjasama antara Bank Islam dan institusi pengajian tinggi terpilih itu adalah sebahagian daripada inisiatif Pembangunan Komuniti Tempatan, bermatlamat memperkasakan usahawan mikro dengan menyediakan kemahiran yang relevan dan praktikal bagi memastikan daya tahan perniagaan yang dimiliki dalam mendepani cabaran semasa.

 

Di hab tersebut, usahawan berpeluang mempelajari strategi untuk mengembangkan potensi perniagaan melalui pengurusan kewangan, pemasaran digital dan kemahiran teknikal produk serta membentuk rangkaian dalam kalangan usahawan, aspek penting dalam membina perniagaan yang mampan. 

 

Pada masa sama, pembangunan Hab Usahawan iTEKAD terbabit juga membuka ruang peningkatan kemahiran dan pengetahuan pensyarah dan pelajar institusi terlibat melalui penyediaan latihan perniagaan selain membimbing pelanggan iTEKAD yang memerlukan dalam komuniti mereka. 

 

Mohd Muazzam Mohamed berkata, komitmen pihaknya adalah untuk membantu memperkasa komuniti B40 dan asnaf dengan menyediakan sokongan modal dan latihan yang berkesan. 

 

"Sejak 2021, kami telah menyalurkan lebih RM30 juta kepada hampir 1,600 usahawan mikro melalui program iTEKAD.  Dengan pelancaran Hab Usahawan iTEKAD ini, kami berharap dapat memperkukuh dan mengembangkan perniagaan mereka," katanya dalam satu kenyataan.

 

Melalui pelancaran Hab Usahawan iTEKAD di lokasi-lokasi strategik seperti UiTM Sarawak, UMK dan UCB, Bank Islam berharap dapat mendekatkan perkhidmatan dan sokongan kepada usahawan mikro tempatan. 

 

Pembukaan hab itu akan menjimatkan masa, kos dan tenaga usahawan iTEKAD Bank Islam untuk mendapatkan sokongan yang diperlukan tanpa perlu ke ibu negara. 

 

Langkah berkenaan selaras dengan usaha Bank Islam untuk menggalakkan rangkuman kewangan dan membentuk ekosistem keusahawanan yang lebih dinamik. 

 

Bank Islam menyasarkan penyediaan lima Hab Usahawan iTEKAD di seluruh negara menjelang akhir 2024.

 

Bagi memperluas rangkuman inisiatif iTEKAD BangKIT, Bank Islam akan memperkenalkan penggunaan Kubah Pengering Solar (SDD) bagi kemudahan komuniti nelayan di Sarawak, dalam satu projek yang dijalankan dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Majlis Islam Sarawak (MIS) dan persatuan nelayan tempatan. 

 

Kerjasama strategik itu menyediakan sokongan kewangan serta bimbingan iTEKAD BangKIT bersama geran padanan iTEKAD untuk perolehan SDD. 

 

SDD adalah teknologi pengeringan yang efisien dan berkeupayaan memastikan kualiti produk hasil laut yang lebih baik dan halal.

 

Berbanding kaedah pengeringan tradisional, SDD menyediakan proses pengeringan yang lebih cepat, bersih serta mampu mengekalkan nilai nutrisi produk. 

 

Penyediaan kemudahan SDD bertujuan untuk meningkatkan kehidupan dan pendapatan nelayan asnaf, sekali gus memperbaiki taraf hidup mereka. 

 

Sebagai peringkat awal pelaksanaan, Bank Islam akan menyasarkan 30 nelayan asnaf di Sarawak, Terengganu dan Kelantan menerima manfaat daripada penyediaan kemudahan sokongan SDD. - DagangNews.com