CapitaLand sumbang barangan keperluan bernilai RM200,000 kepada 2,600 kanak-kanak dan keluarga berpendapatan rendah di Malaysia | DagangNews Skip to main content

CapitaLand sumbang barangan keperluan bernilai RM200,000 kepada 2,600 kanak-kanak dan keluarga berpendapatan rendah di Malaysia

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 7 Jan - CapitaLand Group, dengan sokongan daripada cabang kebajikannya, CapitaLand Hope Foundation (CHF), menghulurkan sumbangan barangan keperluan harian dan keperluan pendidikan bernilai RM200,000 kepada kira-kira 2,600 penerima menerusi inisiatifnya, #GivingBersama 4.0. 

 

Inisiatif kemasyarakatan itu merupakan sebahagian daripada kempen global #GivingAsOne tahunan CapitaLand bermatlamat untuk memberi sokongan kepada penerima daripada rumah anak yatim, sekolah dan keluarga berpendapatan rendah di Pulau Pinang, Lembah Klang, Pahang dan Johor. 

 

Mulai 23 Oktober sehingga 20 Disember 2024, sukarelawan terdiri daripada kakitangan CapitaLand bersama-sama menjayakan usaha yang bermakna ini dengan memberi sokongan kepada hampir 800 kanak-kanak kurang berkemampuan daripada 21 rumah amal dan lebih 1,800 penerima daripada 600 keluarga berpendapatan rendah. 

 

Penerima itu dikenal pasti hasil kerjasama dengan Unit Mutiara Food Bank di Pulau Pinang serta pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia di Kuala Lumpur, Kuantan dan Johor. 

 

Buat kali pertama, CapitaLand memperkenalkan pengalaman bazar pusat beli-belah untuk membawa keseronokan dan kegembiraan kepada penerima. Menerusi inisiatif jelajah yang unik itu, penerima boleh memilih barangan keperluan daripada pelbagai gerai yang didirikan oleh sukarelawan kakitangan berkenaan di dewan komuniti di seluruh Malaysia.

 

capitaland

 

Ketua Peruncitan, CapitaLand Investment (Malaysia), Selina Ng berkata, ia merupakan tahun keempat inisiatif #GivingBersama dan pihaknya berbangga untuk terus memberi sokongan kepada keluarga berpendapatan rendah yang memerlukan.  

 

"Kami berbesar hati dengan sambutan positif dan amat berbangga dengan sukarelawan kami yang menyemarakkan inisiatif yang penuh makna ini menerusi dedikasi dan kreativiti mereka dalam usaha kami untuk meningkatkan kesejahteraan golongan ini. Di samping bazar, barangan keperluan turut diagihkan kepada rumah anak yatim," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

capitaland

 

Beliau berkata,  mereka juga menerima beg beli-belah dan beg bukan tenunan boleh guna semula untuk membawa pulang barangan pilihan mereka selain baucar beli-belah untuk kegunaan di pusat beli-belah CapitaLand di Malaysia turut dihadiahkan kepada mereka sebagai sokongan selepas acara berkenaan. 

 

Katanya, bagi penerima yang memerlukan bantuan, sukarelawan kakitangan memastikan barangan yang dipilih itu dihantar ke rumah mereka. Selain daripada bazar tersebut, barangan keperluan harian dan keperluan pendidikan turut diagihkan kepada kanak-kanak kurang berkemampuan daripada 21 rumah anak yatim di Lembah Klang. 

 

capitaland

 

“Di CapitaLand, kami komited untuk membina daya tahan dalam kalangan masyarakat di tempat kami beroperasi. 

 

"Tahun ini, lebih daripada 180 sukarelawan kakitangan CapitaLand berkumpul dan menyumbang lebih daripada 1,400 jam kerja sukarelawan bagi memberi sokongan kepada golongan rentan di Malaysia. 

 

capitaland

 

"Sejak 2011, CapitaLand, dengan sokongan CHF, sudah membantu lebih daripada 16,100 penerima dan memberi sumbangan lebih daripada RM2.6 juta di Malaysia," katanya. - DagangNews.com