Caruman sukarela ahli KWSP kini mencecah RM11.16 bilion setakat Oktober 2024 | DagangNews Skip to main content

Caruman sukarela ahli KWSP kini mencecah RM11.16 bilion setakat Oktober 2024

Oleh BERNAMA

KUALA LUMPUR 10 Dis - Seramai satu juta ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah membuat caruman sukarela berjumlah RM11.16 bilion setakat Oktober 2024, menurut Kementerian Kewangan.

 

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata 288,000 ahli aktif rasmi KWSP juga telah mencarum melebihi kadar berkanun 11 peratus dalam tempoh yang sama.

 

“Selain itu, melalui penstrukturan semula akaun KWSP, caruman kepada Akaun Persaraan (Akaun 1) telah dinaikkan kepada 75 peratus daripada 70 peratus sebelum ini.

 

“Ini dijangka membantu ahli mencapai sasaran Simpanan Asas dengan lebih cepat,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

 

 

Datuk Seri Amir Hamzah Azizan
                      Datuk Seri Amir Hamzah Azizan

 

 

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Senator Robert Lau Hui Yew mengenai strategi kerajaan untuk memastikan individu mempunyai simpanan KWSP mencukupi untuk kehidupan yang selesa selepas bersara.

 

Menurut Amir Hamzah, setakat 31 Okt 2024, 2.65 juta atau 36.2 peratus daripada 7.33 juta ahli aktif rasmi berumur antara 18 dan 55 tahun telah mencapai sasaran Simpanan Asas khusus umur, berbanding 2.21 juta (30.4 peratus) daripada 7.25 juta ahli pada Disember 2022.

 

Sementara itu, beliau berkata kerajaan telah mengambil maklum cadangan Lau untuk meningkatkan umur persaraan kepada 65 tahun, dengan berkata ini memerlukan pertimbangan menyeluruh dan teliti oleh semua pihak sebelum sebarang keputusan dibuat di peringkat dasar. - DagangNews.com