KUCHING 18 Nov - CCK Consolidated Holdings Bhd memperuntukkan pelaburan sejumlah RM20 juta untuk sebuah bilik sejuk baharu bagi produk daging beku dan makanan di bawah projek pengembangan kilang CCK di Bintawa, Kuching.
Bilik sejuk baharu yang berukuran 21,506 meter persegi itu akan menggandakan kapasiti bilik sejuk sedia ada di kilang berkenaan, dengan penambahan 5,000 palet kepada 7,000 palet, menurut Pengarah Urusan Kumpulan, Tiong Chiong Hiiung.
Beliau berkata, ia turut dilengkapi dengan sistem penyimpanan dan pengambilan barang automatik bagi mengurangkan keperluan tenaga kerja.
"Pelan bangunan bagi projek ini telah dihantar dan sedang menunggu kelulusan daripada pihak berkuasa berkaitan," katanya dalam satu kenyataan.
Chiong Hiiung berkata, CCK turut merancang untuk melabur RM8 juta dalam sebuah projek ladang ayam daging baharu di Sarawak.
Katanya, ladang tersebut, yang dijangka mempunyai kapasiti maksimum 200,000 ekor ayam setiap kitaran, dijangka memulakan operasi pada suku pertama 2026 (1Q26).
Tambah beliau, syarikat itu juga merancang perbelanjaan modal kira-kira RM6.34 juta untuk digitalisasi operasi kumpulan dan menaik taraf teknologi digital.
Menurutnya, rundingan dengan vendor kini berada di peringkat akhir untuk menganugerahkan kontrak bernilai RM4 juta bagi perkhidmatan digitalisasi operasi semasa kumpulan dan menstrukturkan semula proses untuk meningkatkan kecekapan.
"Sejumlah RM36.34 juta untuk projek-projek ini akan dibiayai daripada hasil sebanyak RM88.1 juta, yang diperoleh melalui penjualan 26.5% kepentingan ekuiti CCK dalam PT Adilmart, Indonesia kepada Astrantia Sdn Bhd," jelasnya.
Adilmart, yang merupakan anak syarikat milik penuh melalui CCK dan CCK Frest Mart (yang masing-masing memegang 96.25% dan 3.75% kepentingan), terlibat dalam pengeluaran dan perdagangan makanan beku, termasuk sosej dan daging diproses di Indonesia.
Mengikut perjanjian yang ditandatangani, Astrantia akan memperoleh 31,772 saham sedia ada (26.5%) dalam Adilmart dengan nilai RM88.1 juta dan melanggan 27,047 saham baharu Adilmart (18.4%) dalam saham Adilmart yang dikeluarkan, dengan bayaran RM75 juta secara tunai.
Apabila urus niaga itu selesai, Astrantia akan meningkatkan kepentingan ekuitinya kepada 40%, manakala CCK akan mengurangkan pegangan sahamnya kepada 56.9%, dengan baki 3.1% dipegang oleh CCK Frest Mart. - DagangNews.com