KUALA LUMPUR 6 Dis - Syarikat industri keluli dan bahan binaan di Malaysia Timur, Colform Group Berhad, memeterai perjanjian taja jamin dengan Mercury Securities Sdn Bhd dalam perjalannya menerbitkan tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran ACE, Bursa Malaysia.
IPO melibatkan penerbitan 114.4 juta saham biasa baharu, mewakili 19.07% daripada modal saham terbitan yang diperbesarkan
Pada masa sama ia melibatkan tawaran jualan sebanyak 54 juta saham biasa yang mewakili 9% daripada modal saham yang diperbesarkan semasa penyenaraian kumpulan.
Bagi saham terbitan, sebanyak 30 juta atau 5% daripada modal yang diperbesarkan, akan disediakan untuk permohonan oleh rakyat Malaysia melalui pengundian, manakala sejumlah 6 juta atau 1% daripada modal saham terbitan yang diperbesarkan, dikhaskan untuk pengarah, pekerja dan penyumbang kejayaan kumpulan.
Selain itu, sejumlah 3.4 juta saham atau 0.57% daripada modal saham terbitan yang diperbesarkan, akan diperuntukkan melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih, sementara 75 juta saham atau 12.50% daripada modal saham terbitan yang diperbesarkan, disediakan melalui penempatan persendirian kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Sebanyak 54,000,000 saham tawaran atau 9% daripada modal saham terbitan yang diperbesarkan, akan ditawarkan melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih.
Mercury Securities akan menaja jamin 36,000,000 saham terbitan untuk permohonan oleh rakyat Malaysia dan orang yang layak.
Pengarah Urusan Colform, Kang Ket Hung berkata, penyenaraian di Pasaran ACE merupakan satu pencapaian penting bagi syarikat, memberikannya platform yang lebih kukuh untuk pertumbuhan dan pengembangan.
"Peluang ini tidak hanya memperkukuh kewujudan jenama kami, tetapi juga memberi peluang kepada pengarah, pekerja, rakan kongsi perniagaan dan pelabur untuk turut serta dalam perjalanan ini.
"Kami berterima kasih kepada Mercury Securities atas sokongan dan kepercayaan yang diberikan kepada kumpulan kami," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menambah, penyenaraian tersebut membolehkan Colform mencapai tahap yang lebih tinggi dengan menerokai pasaran baharu dan bertindak balas secara berkesan terhadap permintaan industri keluli yang semakin berkembang.
"Kami komited untuk terus menyediakan rumusan keluli yang unggul dan melebihi jangkaan pelanggan, serta memacu pertumbuhan dan inovasi yang mampan," jelas beliau.
Dengan lebih 20 tahun pengalaman, Colform merupakan rakan kongsi yang dipercayai dalam industri pembinaan, menyediakan rumusan keluli dari awal hingga akhir untuk menyokong pembangunan Malaysia.
Beribu pejabat di Sabah, Colform menawarkan pelbagai produk keluli hiliran seperti kepingan bumbung, pelapis dinding dan sistem rangka keluli IBS, yang direka untuk menyediakan rumusan kos efektif dan penjimatan buruh yang memenuhi piawaian industri.
Pelanggan utama Colform merangkumi sektor kerajaan, komersial dan swasta, yang mengutamakan kebolehpercayaan dan inovasi dalam setiap projek. - DagangNews.com