KUALA LUMPUR 30 Sept - Datametrics Research & Information Centre (DARE) menyeru Kesatuan Eropah (EU) menangguhkan pelaksanaan Peraturan EU mengenai Produk Bebas Penebangan Hutan (EUDR) yang akan berkuat kuasa mulai 30 Disember 2024.
Pusat penyelidikan itu berkata, walaupun matlamatnya mulia tetapi pendekatan itu bakal menimbulkan kebimbangan pengeluar pertanian seperti Malaysia, terutamanya beban yang dikenakan terhadap 300,000 pekebun kecil yang menyumbang kira-kira 40% daripada pengeluaran minyak sawit setiap tahun.
Ini berikutan kenyataan dari Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) yang menjelaskan tarikh akhir 30 Disember 2024 itu bukan sahaja tidak praktikal tetapi juga akan membebankan perniagaan dan pekebun kecil.
Di bawah EUDR, pengendali ekonomi perlu menjalankan analisis teliti terhadap rantaian bekalan mereka bagi memastikan produk pasaran atau eksport tidak menyumbang kepada penebangan hutan atau kemerosotan hutan.
Walau bagaimanapun,undang-undang anti-penebangan hutan EU mendorong syarikat-syarikat Eropah menganggap penglibatan pekebun kecil dalam rantaian bekalan adalah satu risiko kerana mereka mungkin tidak memenuhi keperluan EUDR.
Ini akan menyebabkan pekebun kecil akan terpaksa keluar dari pasaran, yang akan memberi impak sosial dan ekonomi secara langsung kepada komuniti yang bergantung kepada pendapatan berkaitan eksport untuk memenuhi keperluan ekonomi dan kewangan asas mereka.
Pengarah Urusan DARE, Pankaj Kumar menekankan implikasi EUDR yang bakal memberi cabaran yang besar bagi pekebun kecil, yang berdepan kesukaran untuk memenuhi keperluan pematuhan yang ketat.
“Penangguhan penguatkuasaan peraturan ini akan memberikan masa yang diperlukan kepada pekebun kecil untuk beralih kepada amalan mampan dengan cara yang adil dan boleh diurus.
“EU harus mempertimbangkan untuk mengiktiraf standard Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) sebagai alat pematuhan yang boleh diterima dalam kerangka EUDR.
“Pengiktirafan ini akan membantu memudahkan akses pasaran bagi minyak sawit bebas penebangan hutan yang diiktiraf, menyokong pekebun kecil, dan mempromosikan penerimaan yang lebih luas terhadap amalan mampan dalam industri secara keseluruhan,” ujar beliau.
Sementara itu, beliau juga berkata, ketiadaan garis panduan yang jelas untuk pematuhan EUDR dari EU akan membimbangkan industri sawit.
“Dengan kurang dari tiga bulan sebelum penguatkuasaan peraturan ini, perniagaan, kerajaan dan pekebun dibiarkan dalam ketidakpastian tentang cara untuk memenuhi keperluan tersebut.
“Suruhanjaya EU mesti mendengar suara kerajaan, pemimpin industri, dan pakar di seluruh dunia yang menyeru agar penangguhan dilakukan. Kejayaan EUDR bergantung kepada kemampuannya untuk menyeimbangkan matlamat alam sekitar dengan realiti ekonomi,” ulasnya. - DagangNews.com