KUALA LUMPUR 7 Jan - Syarikat yang tersenarai di Pasaran Utama Bursa Malaysia, EA Technique (M) Bhd mencapai persefahaman dengan Vestigo Petroleum Sdn Bhd (VPSB) mengenai perkara yang berkaitan dengan pengaturan kontrak yang lalu.
Syarikat pengangkutan marin itu berkata, persefahaman antara VPSB dan EATech menunjukkan pengukuhan kesinambungan operasi EATech dan menyelesaikan pengaturan kontrak yang lalu.
"Aliran tunai masuk daripada persefahaman ini memberi rangsangan segera kepada kecairan syarikat, menyokong usahanya untuk memacu pelaksanaan pelan pemulihan.
"Ini juga sejajar dengan usaha berterusan syarikat untuk meningkatkan kestabilan kewangan dan memupuk pertumbuhan yang mampan.
"Hasil positif persefahaman ini mencerminkan hubungan profesional yang kukuh antara EATech dan VPSB, yang mengesahkan kedudukan VPSB dalam sektor maritim dan tenaga Malaysia," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas mengenai persefahaman itu, Pengarah Eksekutif EATech, Datuk Wira Mubarak Hussain Akhtar Husin berkata, kedua-dua Vestigo dan EATech menunjukkan komitmen bersama dan kekal dalam memupuk hubungan kerjasama yang kukuh.
“Paling penting, kami berhasrat untuk menyokong satu sama lain dalam membuka potensi yang lebih besar dalam industri.
"Persefahaman bersama ini menyerlahkan tumpuan kami untuk mewujudkan perkongsian yang berkekalan sambil meningkatkan keupayaan kami dan meneroka peluang masa depan.
"Ini membolehkan EATech menumpukan sepenuhnya pada bidang perniagaan terasnya, termasuk pengangkutan marin, penyimpanan luar pesisir dan perkhidmatan marin pelabuhan.
"Dengan kekuatan kewangan yang mampan dan hala tuju strategik yang jelas, EATech bersedia untuk memanfaatkan peluang merentasi portfolio sambil mengekalkan hubungan yang teguh dengan rakan kongsi dan pemegang kepentingan," katanya. - DagangNews.com