Eksport minyak sawit Malaysia pada September 2024 meningkat 0.93% | DagangNews Skip to main content

Eksport minyak sawit Malaysia pada September 2024 meningkat 0.93%

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 10 Okt - Eksport minyak sawit Malaysia pada September 2024 menyaksikan sedikit peningkatan iaitu 0.93 peratus kepada 1.54 juta tan daripada 1.53 juta tan pada Ogos 2024, jelas laporan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

 

Menurut MPOB, pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) Malaysia turun 3.8 peratus atau 71,926 tan kepada 1.82 juta tan pada September 2024 daripada 1.89 juta tan pada Ogos.

 

Agensi tersebut dalam laporannya mengenai prestasi industri minyak sawit untuk September 2024 menyatakan, pengeluaran isirung sawit susut sebanyak 4.87 peratus bulan ke bulan kepada 433,785 tan metrik pada September daripada 455,976 tan metrik sebelum ini.

 

Pengeluaran minyak isirung sawit mentah pula susut sebanyak 6.45 peratus kepada 193,836 tan daripada 207,194 tan pada Ogos, sementara dedak isirung sawit berkurang sebanyak 5.34 peratus kepada 215,166 tan daripada 227,302 tan sebelumnya.

 

MPOB melaporkan, dari segi inventori, stok simpanan MSM meningkat 10.91 peratus kepada 1.06 juta tan berbanding 953,145 tan metrik pada Ogos.

 

Stok minyak sawit yang diproses didapati bertambah 2.85 peratus kepada 956,726 tan metrik daripada 930,069 tan pada bulan sebelumnya, manakala jumlah stok minyak sawit menokok 6.93 peratus kepada 2.01 juta tan daripada 1.88 juta tan pada Ogos.

 

"MPOB mencatatkan lonjakan ketara dalam eksport minyak isirung sawit yang melonjak 45.06 peratus kepada 126,446 tan pada September dari Ogos," demikian menurut laporan berkenaan.

 

Jelas MPOB, eksport dedak isirung sawit berkembang 33.99 peratus kepada 232,944 tan pada September dari Ogos.

 

Bagaimanapun, eksport oleokimia merosot sebanyak 5.72 peratus kepada 257,825 tan metrik daripada 273,395 tan metrik pada Ogos dan eksport biodiesel merosot secara mendadak sebanyak 43.95 peratus kepada 16,793 tan metrik daripada 29,963 tan metrik pada Ogos.

 

Import MSM pula kekal pada sifar, manakala import minyak isirung sawit merosot 20.68 peratus kepada 10,887 tan metrik dari Ogos. - DagangNews.com