KUALA LUMPUR 10 Dis - Feytech Holdings Berhad (Feytech) membentuk perjanjian usaha sama (JVA) dengan Wuhu Ruitai Auto Parts Co., Ltd. (Ruitai) untuk mereka bentuk, mengeluarkan dan memasang komponen serta bahagian berkaitan kerusi automotif untuk pasaran tempatan dan antarabangsa.
Ruitai, yang ditubuhkan di China dan merupakan anak syarikat milik penuh Wuhu Chery Technology Co., Ltd., membawa kepakaran yang luas dalam reka bentuk, pembuatan, pemasangan dan pengedaran kenderaan serta alat ganti automotif.
Di bawah JVA itu, sebuah syarikat baharu (JV Co) akan ditubuhkan di bawah Akta Syarikat 2016, dengan Feytech memegang 51% kepentingan ekuiti dan Ruitai memegang baki 49%.
Usaha sama berkenaan akan dipacu dengan pelaburan awal sebanyak RM6 juta dan suntikan modal tambahan sebanyak RM7.73 juta selepas setahun, mengikut struktur pegangan saham.
Sumbangan Feytech akan dibiayai melalui dana yang dijana secara dalaman.
Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Feytech, Connie Go berkata, pihaknya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Ruitai, kerana memilihnya sebagai rakan kongsi yang dipercayai.
"Langkah strategik Chery untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pengeluarannya untuk Asia Tenggara menunjukkan kerjasama yang kukuh antara dua negara.
"Bersama-sama, kami berhasrat untuk mengembangkan capaian Feytech dengan memasuki pasaran antarabangsa, memenuhi keperluan automotif yang pelbagai dan memacu pertumbuhan eksport," katanya dalam satu kenyataan.
Kerjasama tersebut merupakan pencapaian penting bagi Feytech, pengeluar penutup dan kerusi automotif yang terkenal, kerana ia mengembangkan keupayaannya melalui kerjasama dengan Ruitai, rakan teknikal yang berpengalaman dalam pembuatan alat ganti automotif.
Ia akan membolehkan JV Co membekalkan komponen dan bahagian automotif siap pasang (CKD) yang berkaitan dengan kerusi automotif untuk digunakan dalam kenderaan yang dihasilkan oleh Chery Automobile Co., Ltd. dan entiti-entiti perkongsiannya yang lain.
Ini selaras dengan matlamat strategik kedua-dua syarikat untuk memartabatkan kedudukan Malaysia sebagai hab pembuatan dan eksport automotif serantau. - DagangNews.com