Eksport Malaysia susut 0.6% kepada 149.3 mata pada September 2024 - DOSM | DagangNews Skip to main content

Eksport Malaysia susut 0.6% kepada 149.3 mata pada September 2024 - DOSM

Oleh BERNAMA

KUALA LUMPUR 28 Okt - Eksport Malaysia pada September 2024 susut 0.6% kepada 149.3 mata daripada 150.3 mata pada Ogos 2024, manakala import jatuh 1.9% kepada 129.5 mata, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

DOSM berkata, syarat perdagangan Malaysia meningkat 1.3% bulan ke bulan kepada 117.5 mata pada September, manakala pada asas tahunan, terma perdagangan Malaysia meningkat 6.1% daripada 110.7 mata pada September tahun sebelumnya.

 

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, indeks nilai seunit eksport susut 0.6% pada September 2024 berbanding Ogos 2024 akibat penurunan indeks bahan api mineral (4.0%), barangan perkilangan (1.4%) dan bahan kimia (0.8%).

 

DOSM
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin

 

Pada masa yang sama, indeks volum eksport jatuh sebanyak 3.2%, sejajar dengan penurunan dalam indeks barangan perkilangan (12.4%), pelbagai barangan perkilangan (10.6%) dan bahan api mineral (10.2%).

 

Indeks volum eksport pelarasan musim merosot sebanyak 13.5% kepada 147.3 mata daripada 170.3 mata. Perbandingan tahunan, indeks nilai unit meningkat sebanyak 3.3%, manakala indeks volum susut sebanyak 3.4%.

 

DoSM berkata, indeks nilai seunit import susut 1.9% pada September 2024 akibat penurunan indeks bahan api mineral (9.8%), bahan kimia (1.0%), serta jentera dan kelengkapan pengangkutan (0.5%).

 

DOSM

 

Indeks volum import pula merosot 8.5% pada September 2024 berbanding Ogos 2024 akibat penurunan indeks bahan kimia (18.5%), barangan perkilangan (14.2%) dan jentera dan kelengkapan pengangkutan (8.0%).

 

Di samping itu, indeks volum import pelarasan bermusim susut sebanyak 18.2% daripada 229.1 mata kepada 187.3 mata. Perbandingan tahun ke tahun menunjukkan indeks nilai unit turun sebanyak 1.4% dan indeks volum meningkat sebanyak 14.0%.

 

Sementara itu, terma perdagangan Malaysia berkembang 1.3% bulan ke bulan kepada 117.5 mata pada September 2024, didorong oleh peningkatan indeks bahan api mineral (6.4%), sektor makanan (1.2%) serta jentera dan kelengkapan pengangkutan (0.7% ).- DagangNews.com