Sarawak Metro anugerah kontrak RM122 juta bekal bas hidrogen kepada syarikat kerjasama SKS Coachbuilders, Sun Credit | DagangNews Skip to main content

Sarawak Metro anugerah kontrak RM122 juta bekal bas hidrogen kepada syarikat kerjasama SKS Coachbuilders, Sun Credit

Gambar: Facebook H2 Sarawak

KUALA LUMPUR 28 Okt - Sarawak Metro Sdn Bhd memberikan kontrak bernilai lebih RM122 juta kepada sebuah syarikat usaha sama (JV) terdiri daripada SKS Coachbuilders Sdn Bhd dan Sun Credit Sdn Bhd bagi membekalkan bas yang dikuasakan oleh hidrogen.

 

Syarikat kerjasama itu akan mereka bentuk dan mengeluarkan 55 bas dengan sel bahan api hidrogen.

 

“Kontrak itu, bernilai RM122.4 juta dan akan dilaksanakan dalam tempoh 43 bulan,” kata Sarawak Metro dalam satu kenyataan, lapor Bernama.

 

Bas berkuasa hidrogen itu akan menyokong rangkaian sistem Autonomous Rapid Transit (ART) di bawah projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS), dalam menyediakan sambungan pertama dan terakhir.

 

Majlis menandatangani kontrak itu diadakan di sini pada Khamis lalu dengan Sarawak Metro diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Mazli Mustaffa manakala SKS Coachbuilders diwakili pengarahnya, Muhamad Zaidi Toha bersama Pengerusi Sun Credit, Sempurai Petrus Ngelai.

 

Mazli berkata, pemberian kontrak itu merupakan langkah penting ke arah membina rangkaian pengangkutan awam yang lebih dipercayai, mudah dan mesra alam di Kuching. 

 

"Kepada syarikat JV, kita perlu bekerjasama ke arah matlamat ini untuk penambahbaikan sistem pengangkutan awam Sarawak," katanya.

 

Sebanyak enam penyerahan tender diterima pada penutupan tender pada 26 Julai tahun ini.

 

Sarawak Metro, anak syarikat Perbadanan Kemajuan Ekonomi Sarawak (SEDC), ditugaskan dengan pelaksanaan, operasi, dan penyelenggaraan projek KUTS, yang terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Pengangkutan Sarawak. 

 

Tulang belakang projek KUTS ialah pengenalan kenderaan hidrogen Autonomous Rapid Transit (ART) pelepasan sifar yang akan bergerak menggunakan tayar getah dan beroperasi di lorong tanpa jejak khusus.

 

Kebanyakan lorong adalah pada paras jalan manakala sebahagian jajaran tertentu akan dinaikkan.

 

Operasi ART akan disokong oleh rangkaian bas pengantara, yang juga akan terdiri daripada kenderaan berkuasa hidrogen untuk menawarkan sambungan untuk penumpang.

 

Langkah menggunakan hidrogen adalah selaras dengan aspirasi kerajaan Sarawak untuk memajukan ekonomi hidrogen dan menyahkarbon pengangkutan awam di Sarawak.- DagangNews.com