Untung bersih Aneka Jaringan pada 4QFY24 melonjak 428.9% kepada RM1.87 juta | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Aneka Jaringan pada 4QFY24 melonjak 428.9% kepada RM1.87 juta

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 28 Okt - Untung bersih Aneka Jaringan Holdings Bhd pada suku keempat berakhir 31 Ogos 2024 (4QFY24) melonjak 428.9% kepada RM1.87 juta berbanding kerugian RM350,000 pada suku sama tahun lalu disokong kawalan kos serta margin projek yang lebih baik.

 

Kumpulan itu berkata, mereka masih mampu mencatatkan keuntungan walaupun terdapat rosot nilai dan hapus kira sekali ke atas aset kontrak berjumlah RM2.19 juta.

 

Katanya, keuntungan kasar meningkat sedikit kepada RM7.85 juta, peningkatan RM200,000, hasil daripada pengurusan kos yang dipertingkatkan dan pengoptimuman projek. 

 

"Kumpulan juga melaporkan hasil sebanyak RM56.63 juta pada 4QFY24 , peningkatan 9.9% berbanding RM51.52 juta pada tahun lalu.
 

"Bagi FY24, kumpulan mencatatkan untung bersih sebanyak RM4.35 juta berbanding kerugian bersih sebanyak RM12.43 juta pada tahun lalu disokong peningkatan hasil sebanyak 11.3% kepada RM211.48 juta berbanding RM189.93 juta pada FY23," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Kumpulan itu juga memperoleh kontrak RM53 juta daripada Grand Dynamic Builders Sdn Bhd untuk pembinaan hab logistik baharu di Shah Alam. 

 

Sehingga 31 Ogos 2024, buku pesanan kumpulan berjumlah RM240.08 juta, menetapkan asas yang kukuh untuk pertumbuhan yang mampan pada tahun kewangan akan datang.

 

Pengarah Urusan Aneka Jaringan, Pang Tse Fui berkata, peningkatan ketara margin keuntungan digabungkan dengan perolehan kontrak strategik, daya tahan model perniagaan dan kekutan operasi mereka.

 

"Kami akan memanfaatkan buku pesanan kami yang kukuh selain menguruskan potensi turun naik kos. Komitmen kami untuk mencipta nilai yang mampan untuk pemegang kepentingan kami kekal tidak berubah," katanya.

 

Memandang ke hadapan, kumpulan kekal optimis terhadap prospek FY25 dengan rancangan membida kontrak bernilai tinggi bagi meningkatkan buku pesanannya dan megekalkan perancangan projek yang sihat.

 

Pihak pengurusan memantau dengan teliti perkembangan domestik dan antarabangsa, terutamanya turun naik dalam harga material, dan akan mengambil tindakan yang perlu untuk mengurangkan potensi risiko.- DagangNews.com