Harga minyak dunia diunjur lebih rendah antara AS$65 hingga AS$75 setong pada 2025 - MARC Ratings | DagangNews Skip to main content

Harga minyak dunia diunjur lebih rendah antara AS$65 hingga AS$75 setong pada 2025 - MARC Ratings

Gambar: Freepik
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Nov - Harga minyak diunjurkan berada dalam julat lebih rendah antara AS$65 hingga AS$75 setong pada 2025, menurut Malaysian Rating Corporation Bhd (MARC Ratings).

 

Agensi penarafan itu berkata terdapat risiko harga minyak meningkat termasuk konflik geopolitik berterusan melibatkan pembekal minyak utama, prestasi ekonomi China dan Amerika Syarikat (AS) yang kukuh daripada jangkaan dan penurunan pengeluaran berterusan oleh ahli OPEC+.

 

Bagaimanapun, seiring unjurannya, purata harga minyak pada 2024 dijangkakan berada dalam julat rendah pada AS$80 setong.

 

"Meskipun OPEC+ menurunkan pengeluaran, pertumbuhan yang perlahan dan risiko geopolitik yang mereda menyebabkan harga minyak Brent berada di bawah AS$80 setong sejak suku ketiga 2024," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Katanya, dalam jangka masa pendek, harga minyak berpotensi turun naik dengan berlaku lonjakan baru-baru ini, mencerminkan ketidakstabilan yang semakin meningkat di Asia Barat, melibatkan Selat Hormuz, laluan transit penting untuk kira-kira satu perlima daripada permintaan minyak global.

 

“Gangguan dalam pengeluaran atau di sepanjang laluan transit boleh mencetuskan lonjakan mendadak dalam harga minyak mentah, berdasarkan anggaran kami, pengurangan 10% dalam bekalan minyak berpotensi memacu harga sehingga 12%,” katanya.

 

Dari segi permintaan, agensi itu melihat pelonggaran berterusan kadar faedah global, khususnya di AS, dijangka menggiatkan semula aktiviti pembuatan dan melemahkan dolar pada 2025.

 

Namun, ini bergantung kepada pergerakan hasil bon, yang dipengaruhi oleh peralihan dasar AS berkaitan perbelanjaan awam dan permintaan global untuk minyak mentah, walaupun kadar dan skala pemulihan ini akan kekal tidak menentu.

 

Mengenai prestasi makroekonomi pada 2024, ia lebih lemah daripada jangkaan dan kadar faedah yang tinggi telah mengekang permintaan, dengan pertumbuhan penggunaan global menurun kepada 1% (2023 2.1%; 2022 2.6%).

 

Mengenai pengeluaran, ia berkata minyak mentah global dan bahan api cecair lain diunjurkan berkembang sebanyak 2% pada 2025 (2024 0.6%; 2023 1.8%), sebahagian besarnya didorong oleh peningkatan pengeluaran dari AS, dengan pengeluaran dijangka berkembang sebanyak 2.3%, menurut data daripada Pentadbiran Maklumat Tenaga.

 

MARC Ratings berkata, pertumbuhan itu sejajar dengan dasar Republikan yang mengutamakan keterjaminan tenaga.

 

Selain itu, OPEC+ merancang untuk mula mengurangkan pemotongan pengeluarannya pada akhir Disember 2024, meningkatkan bekalan ke pasaran.

 

Oleh itu, pengeluaran yang tinggi secara berterusan, ditambah pula dengan kebimbangan lebihan bekalan, dijangka memberi tekanan ke bawah pada harga, tanpa mengambil kira sebarang gangguan geopolitik yang ketara. - DagangNews.com