Harga minyak sawit dijangka antara RM4,000 hingga RM5,000 setiap tan pada 2025 - CPOPC | DagangNews Skip to main content

Harga minyak sawit dijangka antara RM4,000 hingga RM5,000 setiap tan pada 2025 - CPOPC

KUALA LUMPUR 6 Dis - Majlis Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) meramalkan harga minyak sawit boleh berada dalam julat antara RM4,000 hingga RM5,000 setiap tanpada 2025, didorong oleh pengeluaran yang tidak berubah di pasaran utama, terutamanya Indonesia dan Malaysia.

 

Setiausaha Agung Kanan CPOPC, Datuk Nageeb Wahab berkata, dengan permintaan global terhadap minyak sawit yang terus berkembang, pengeluaran yang tidak berubah berkemungkinan menyebabkan kekurangan bekalan, seterusnya menaikkan harga.

 

"Paras harga semasa sekitar RM5,000 setiap tan mungkin bersifat sementara. Ia sebahagian besarnya dipengaruhi oleh banjir yang sedang melanda Malaysia, sekali gus meningkatkan sentimen pasaran yang optimis," katanya seperti laporan Bernama.

 

Beliau berkata, selain itu, faktor seperti ladang yang semakin tua, cuaca tidak menentu dan cabaran membuka ladang baharu juga dijangka memberi tekanan kepada bekalan global, sekali gus mendorong harga lebih tinggi.

 

Mengenai keanggotaan CPOPC, Nageeb memberitahu, majlis itu kini dianggotai oleh Malaysia, Indonesia, Honduras dan Papua New Guinea sebagai ahli penuh, sementara Colombia, Ghana, Nigeria dan Republik Demokratik Congo sebagai negara pemerhati.

 

Katanya, usaha sedang dijalankan untuk melobi Thailand menganggotai majlis, dan jika berjaya, CPOPC akan menguasai 93 hingga 95 peratus pengeluaran minyak sawit global, yang akan memperkukuhkan pengaruh mereka di pasaran.

 

Ditubuhkan pada 21 November 2015, CPOPC adalah sebuah organisasi antara kerajaan yang menggalakkan kerjasama antara negara-negara pengeluar minyak sawit. - DagangNews.com