Hexa, Equinix mudahkan jaringan hubungan perniagaan Asia Pasifik dan AS menerusi kabel dasar laut MYUS | DagangNews Skip to main content

Hexa, Equinix mudahkan jaringan hubungan perniagaan Asia Pasifik dan AS menerusi kabel dasar laut MYUS

Jaringan kabel dasar laut MYUS merentasi Johor ke wilayah AS di Guam dan seterusnya ke Florence, Oregon. Gambar/ZMS Cable
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 10 Dis - Pemilik kabel Malaysia-Amerika Syarikat (MYUS) yang berpusat di Malaysia, Hexa Capital Consultancy PLT (Hexa) dan syarikat infrastruktur digital global, Equinix menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi meningkatkan jaringan hubungan antara perniagaan di Asia Pasifik dan Amerika Syarikat (AS).

 

Kerjasama itu akan menyaksikan sambungan kabel MYUS dengan pusat data Equinix International Business Exchange™ (IBX) di Malaysia, Indonesia dan AS sekali gus membolehkan pelanggan MYUS mengakses ekosistem besar yang terdiri daripada penyedia gergasi perkhidmatan pengkomputeran, rangkaian dan kandungan, serta perusahaan, menggalakkan pertukaran digital antara kedua-dua rantau pasaran tersebut.

 

Landskap digital Asia Tenggara sedang mengalami pertumbuhan pesat, didorong oleh penerimaan dan perkembangan teknologi digital yang semakin meningkat.

 

Dengan populasi lebih 650 juta dan ekosistem permulaan teknologi yang berkembang pesat, rantau berkenaan menawarkan peluang besar untuk pertumbuhan perniagaan dan inovasi. 

 

Bagaimanapun, potensi revolusi digital itu memerlukan jaringan hubungan yang kukuh antara Asia Tenggara dan AS bagi memudahkan pertukaran data, pengetahuan dan idea, yang akan mempercepatkan kerjasama, memperluas capaian pasaran dan mendorong pertumbuhan ekonomi.

 

Kerjasama antara Hexa dan Equinix membolehkan perniagaan di Asia Tenggara mengakses sumber, pasaran dan kepakaran yang tersedia di AS, manakala syarikat-syarikat negara tersebut juga dapat mengakses pasaran Asia Tenggara yang dinamik. 

 

Kabel MYUS akan menyambungkan Malaysia dan AS secara langsung untuk pertama kalinya dengan jaringan fiber optik berkapasiti tinggi, meningkatkan akses kepada perkhidmatan digital yang boleh dipercayai dan berpatutan di seluruh Asia Tenggara. 

 

Kabel itu akan meliputi Semenanjung Malaysia berhampiran Sedili, Johor ke wilayah AS di Guam dan seterusnya ke Florence, Oregon. 

 

Di sepanjang laluan tersebut, MYUS juga akan menghubungkan Batam dan Jakarta di Indonesia, serta Davao di Filipina.

 

Projek berkenaan dijangka beroperasi pada separuh kedua tahun 2028 dengan fasa-fasa berikutnya akan mengembangkan rangkaian ke Balikpapan, Hawaii dan lokasi-lokasi lain melalui pembinaan kabel secara bertahap serta kerjasama strategik.

 

Equinix mengendalikan pusat data di Kuala Lumpur dan Johor di Malaysia; Jakarta di Indonesia, serta pusat-pusat data di Seattle, Washington dan Silicon Valley serta Los Angeles, California di pantai barat Amerika Syarikat. 

 

Dengan pusat data yang terletak berdekatan stesen pendaratan kabel, pelanggan MYUS dan penyedia perkhidmatan rangkaian akan dapat berhubung dengan ekosistem padat lebih daripada 10,000 syarikat di seluruh dunia.

 

Hexa juga telah menjalin kerjasama dengan Pihak Pendaratan Indonesia yang sedang membangunkan tapak yang sesuai untuk beberapa pendaratan kabel, termasuk pendaratan MYUS di Batam dan Jakarta. 

 

Tapak Pendaratan Jakarta terletak di Tanjung Pakis, di timur Jakarta.

 

Kerjasama strategik baharu antara Hexa dan Equinix itu mengembangkan jaringan global dan memperbaiki kemudahan internet di rantau Asia Tenggara, menyediakan pautan penting antara awan, kandungan dan beban kerja pemprosesan digital yang terdapat di pusat data utama rantau ini. 

 

MYUS akan memperkukuh infrastruktur digital global dengan mempertingkatkan pertukaran data antarabangsa dan menyediakan konektiviti kukuh merentasi benua.

 

Pengasas & CEO Hexa, Dr. Abang Azhari Hadari berkata, kabel MYUS direka khusus untuk menyediakan jaringan fiber langsung yang dipercayai dan untuk penyedia gergasi perkhidmatan pengkomputeran, penyedia perkhidmatan awan dan kandungan serta pembawa telekomunikasi utama.

 

"Kami menjangkakan terdapat keserasian yang tinggi antara pelanggan kabel MYUS dan pelanggan pusat data terbesar Equinix," katanya dalam satu kenyataan.

 

Pengarah Urusan Equinix Malaysia, Cheam Tat Inn berkata, pihaknya mengakui peranan penting yang dimainkan oleh kabel dasar laut dalam ekonomi global yang saling berkait pada masa kini. 

 

"Kami berbangga untuk memanfaatkan kepakaran dan pengalaman luas kami untuk menyokong projek kabel MYUS. Dengan menyediakan rumusan jaringan yang boleh dipercayai dan berkesan, kami membantu perniagaan berkembang dalam era digital dan membuka peluang baharu di pasaran global," ujarnya. - DagangNews.com