IIB anjur Forum Nikkei Medini Johor 2025, buka peluang pelaburan di Iskandar Puteri | DagangNews Skip to main content

IIB anjur Forum Nikkei Medini Johor 2025, buka peluang pelaburan di Iskandar Puteri

Oleh Shamsiah Zulkafli

TOKYO 27 Nov - Iskandar Investment Berhad (IIB) akan menganjurkan forum perniagaan utama, Forum Nikkei Medini Johor di bandar pintar Medini, Iskandar Puteri, dengan kerjasama organisasi media terkemuka Jepun, Nikkei Inc., pada Jun 2025.

 

Forum berkenaan yang turut menampilkan Dialog Pengurusan Global Nikkei, akan menghimpunkan lebih 500 pelabur, tokoh penting dan pakar industri dari Jepun dan Asia Tenggara untuk membincangkan isu-isu penting dalam ekonomi digital, teknologi, inovasi, kemampanan dan masa depan pasaran Asia.

 

Memorandum Persefahaman (MoU) telah ditandatangani di Tokyo antara Nikkei Inc, Nikkei Business Publications (Nikkei BP) dan IIB.

 

Hadir pada acara itu ialah Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif IIB, Dato' Idzham Mohd Hashim; Ketua Pegawai Pelaburan IIB, Haris Hardi Zakaria; Pengarah Urusan Nikkei Inc, Daisuke Arakawa; dan Pengarah Urusan Kanan Nikkei Publications, Naoki Asami.

 

Majlis disaksikan Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Johor, Lee Ting Han serta wakil dari Invest Johor dan Kedutaan Malaysia di Tokyo. 

 

Idzham berkata, forum berkenaan memberi peluang unik kepada Medini dan Johor untuk mempamerkan potensi pelaburan dinamik di pentas global.

 

"Forum ini diharapkan dapat memupuk perkongsian dan kerjasama berharga yang akan membentuk masa depan ekonomi digital di Medini yang juga pintu gerbang ke pasaran Asia," katanya dalam satu kenyataan.

 

Forum Nikkei yang mula diadakan pada 1999, merupakan acara tahunan khas yang menghimpunkan pemimpin perniagaan terkemuka dunia di Tokyo dan meraih reputasi sebagai satu daripada persidangan antarabangsa paling berprestij di Asia.

 

Persidangan di Medini Johor akan memberi tumpuan kepada trend dan inovasi digital terkini, terutamanya dalam bidang transformasi digital, perkhidmatan perniagaan global, pendidikan dan pembangunan bakat. 

 

Perbincangan akan menumpu kepada cabaran dan peluang yang muncul daripada perkembangan pesat ekonomi digital serta kemampanan, pembangunan bandar pintar dan zon ekonomi khas.

 

Ia sejajar dengan inisiatif IIB, terutamanya Medini Innopolis yang dibina berdasarkan tiga teras iaitu Pusat Konvensyen Antarabangsa Medini (MICC), Tech Medini, dan Net-Zero Carbon Central Business District (CBD) pertama di rantau ini. 

 

Melalui inisiatif terbabit, IIB komited untuk menjadikan Johor sebagai hab serantau yang berdaya tahan serta memupuk ekosistem dinamik yang menggabungkan teknologi, kemampanan dan pembangunan bakat.

 

Forum Nikkei Medini Johor itu juga akan menonjolkan potensi pelaburan Johor yang semakin meningkat, dengan tumpuan kepada Iskandar Puteri. 

 

Acara tersebut memberi peluang besar kepada pihak berkepentingan untuk berhubung dengan pelabur serantau, wakil kerajaan dan pemimpin industri dalam meneroka prospek pelaburan di Johor dan Asia Tenggara.

 

Forum terbabit akan menyajikan pelbagai aktiviti menarik, termasuk 10 sesi ucaptama oleh penceramah terkenal, pameran inovasi terkini oleh lebih 20 peserta serta peluang rangkaian berkualiti. 

 

Turut diadakan, lawatan tapak utama yang dianjurkan oleh IIB dan sesi golf dengan VIP dan peneraju industri. - DagangNews.com