Industri runcit diramal berkembang sebanyak 4% pada 2025 - RGM | DagangNews Skip to main content

Industri runcit diramal berkembang sebanyak 4% pada 2025 - RGM

Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 10 Dis - Industri runcit dijangka mengalami kadar pertumbuhan 4% pada 2025, kata Retail Group Malaysia (RGM).

 

Pertumbuhan ini berdasarkan jangkaan ekonomi berkembang antara 4.5% dan 5.5% tahun depan.

 

Bagaimanapun, RGM menekankan beberapa cabaran yang mungkin dihadapi oleh industri, termasuk peningkatan kos sara hidup dan e-invois.

 

E-invois telah dilaksanakan untuk syarikat yang lebih besar sejak 1 Ogos 2024, manakala perniagaan runcit kecil dengan perolehan tahunan sekurang-kurangnya RM150,000 perlu mematuhi sebelum 1 Julai 2025.

 

“Ini akan menimbulkan cabaran hebat bagi banyak peruncit bebas, pengusaha kedai tradisional, pemilik perniagaan kecil dan penjual runcit dalam talian,” kata RGM dalam laporan industri runcitnya untuk November 2024.

 

Dasar dan langkah baharu yang diumumkan semasa Belanjawan 2025 pada Oktober 2024, seperti gaji bulanan yang lebih tinggi, duti eksais yang meningkat ke atas minuman manis bergula, dan Cukai Jualan dan Perkhidmatan yang diperluaskan dijangka memberi kesan minimum kepada industri tahun depan.

 

Menjelang penghujung tahun 2024, RGM mengunjurkan kadar pertumbuhan purata sebanyak 4.4% untuk suku keempat.

 

Subsektor penjagaan diri dijangka mendahului dengan kadar pertumbuhan 17.4%, diikuti oleh subsektor gedung serbaneka merangkap pasar raya dengan pertumbuhan 4.4%. - DagangNews.com