KUALA LUMPUR 9 Dis - Kadar pengangguran pada Oktober 2024 kekal pada 3.2 peratus, merekodkan penurunan dalam bilangan penganggur kepada 551.4 ribu orang, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan Malaysia, Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, kedudukan pasaran buruh negara pada bulan Oktober 2024 kekal optimis berikutan perkembangan positif ekonomi Malaysia.
Ini ditunjukkan oleh peningkatan yang stabil dalam guna tenaga, manakala bilangan penganggur terus menurun.
Oleh itu, bilangan tenaga buruh berada dalam trend peningkatan pada bulan Oktober 2024, naik sebanyak 0.1 peratus bulan ke bulan mencatatkan 17.27 juta orang (September 2024: 17.24 juta orang).
Kadar penyertaan tenaga buruh pada bulan Oktober 2024 kekal pada 70.5 peratus seperti yang direkodkan pada bulan lalu.
Dr. Mohd Uzir berkata, bilangan penduduk bekerja meningkat sebanyak 0.2 peratus kepada 16.72 juta orang pada Oktober 2024 (September 2024: 16.69 juta orang).
Pada masa yang sama, bilangan penganggur terus berkurang kepada 551.4 ribu orang berbanding 555.3 ribu orang pada bulan sebelumnya, merekodkan penurunan sebanyak 0.7 peratus.
Kadar pengangguran tidak berubah pada bulan Oktober 2024 iaitu pada 3.2 peratus, sama seperti bulan sebelumnya.
Mengulas lanjut mengenai situasi guna tenaga, Ketua Perangkawan Malaysia berkata, “Kategori pekerja merangkumi 74.9 peratus daripada jumlah penduduk bekerja. Kumpulan ini mencatatkan sedikit peningkatan iaitu sebanyak 0.1 peratus, mencecah kepada 12.53 juta orang, berbanding 12.51 juta orang pada bulan sebelumnya.
"Begitu juga, penduduk bekerja sendiri berada pada trend menaik, meningkat sebanyak 0.3 peratus kepada 3.10 juta orang (September 2024: 3.09 juta orang).”
Dari segi sektor ekonomi, bilangan penduduk bekerja dalam sektor Perkhidmatan semakin meningkat, terutamanya dalam aktiviti Perdagangan borong & runcit; Perkhidmatan makanan & minuman dan Pengangkutan & penyimpanan.
Pada masa yang sama, sektor Pembuatan, Pembinaan, Perlombongan & Pengkuarian, serta Pertanian turut mencatatkan pertumbuhan guna tenaga yang positif pada bulan tersebut.
Mengulas lanjut mengenai pengangguran, penganggur aktif atau mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan meliputi 79.8 peratus daripada jumlah penganggur. Kategori ini menunjukkan penurunan sebanyak 0.8 peratus kepada 440.0 ribu orang (September 2024: 443.5 ribu orang).
Dalam kalangan penganggur aktif, mereka yang menganggur kurang daripada tiga bulan merangkumi 62.2 peratus, manakala mereka yang berada dalam pengangguran jangka panjang melebihi setahun adalah 6.4 peratus.
Begitu juga, mereka yang percaya bahawa tiada pekerjaan tersedia atau penganggur tidak aktif turun sebanyak 0.4 peratus, mencatatkan 111.4 ribu orang (September 2024: 111.8 ribu orang).
Kadar pengangguran bagi belia berumur 15 hingga 24 tahun turun sebanyak 0.1 mata peratus kepada 10.4 peratus pada bulan Oktober 2024, merekodkan 301.5 ribu penganggur belia (September 2024: 10.5%; 304.2 ribu orang).
Sementara, kadar pengangguran bagi belia berumur 15 hingga 30 tahun tidak berubah iaitu pada 6.3 peratus, dengan 420.2 ribu penganggur belia berbanding bulan sebelumnya (September 2024: 6.3%; 420.1 ribu orang).
Bagi kumpulan tidak aktif, penduduk di luar tenaga buruh pada bulan Oktober 2024 menunjukkan penurunan kecil iaitu sebanyak 0.02 peratus kepada 7.23 juta orang (September 2024: 7.23 juta orang).
Sebab utama berada di luar tenaga buruh adalah berikutan kerja rumah/ tanggungjawab keluarga (43.0%), diikuti oleh kategori bersekolah/ latihan (41.9%).
Mengakhiri kenyataan tersebut, prestasi pasaran buruh negara menunjukkan trend peningkatan yang konsisten, selari dengan kadar penyertaan tenaga buruh yang stabil dan pertumbuhan ekonomi yang menggalakkan.
Senario ini dijangka akan terus meningkatkan permintaan terhadap pekerjaan, yang akan menstabilkan ekonomi negara dan membawa kepada pewujudan peluang pekerjaan baharu.
Ini adalah susulan daripada pelbagai program dan inisiatif yang telah dan akan dilaksanakan untuk mendorong pasaran buruh negara ke arah lebih berdaya saing dan produktif, antaranya seperti Program Usahawan Belia Bumiputera (TUBE), Skim Usahawan Mudah Alih TEKUN Belia serta Latihan Pendidikan, dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET). - DagangNews.com