KDNK negara diramal berkembang sederhana 4.9% pada 2025, kata Maybank IB | DagangNews Skip to main content

KDNK negara diramal berkembang sederhana 4.9% pada 2025, kata Maybank IB

KUALA LUMPUR 10 Dis - Maybank Investment Bank (Maybank IB) meramalkan ekonomi Malaysia berkembang sederhana pada 2025 dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berkembang sebanyak 4.9% berbanding 5.2% pada tahun ini.

 

Firma penyelidikan itu dalam laporan bertajuk  “ASEAN Macro 2025 Year Ahead –Navigating Trade War 2.0” berkata, ia didorong faktor dalaman dan cabaran luaran.

 

Katanya, peningkatan pelaburan dan langkah-langkah dalam Belanjawan 2025 untuk meningkatkan gaji dan upah akan menyokong pertumbuhan pelaburan swasta.

 

Bagaimanapun, ia mengunjurkan pertumbuhan pelaburan swasta akan susut kepada 10% pada tahun depan berbanding anggaran 12.3% pada 2024.

 

"Dari segi pelaburan awam, kadar pertumbuhan dijangka perlahan sebanyak 4.8% pada 2025 berbanding 11.5% pada tahun ini," katanya.

 

Maybank IB berkata, ia mengambil kira, antara lain, komitmen perbelanjaan modal yang berterusan oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan dana pelaburan berkaitan kerajaan di bawah Program Pengaktifan dan Reformasi Badan Berkaitan Kerajaan (GEAR-uP).

 

Di bawah GEAR-uP, katanya, GLC dan dana pelaburan berkaitan kerajaan dijangka melabur sebanyak RM120 bilion untuk pelaburan langsung domestik dalam tempoh lima tahun akan datang, dengan peruntukan awal sebanyak RM25 bilion pada 2025.

 

Faktor lain termasuklah perbelanjaan pembangunan kasar negara sebanyak RM86 bilion pada 2025 dan ketidakpastian mengenai perbelanjaan modal Petronas berikutan "kelewatan" dalam pemindahan kawalan minyak dan gas serta hak kepada syarikat milik kerajaan Sarawak, Petroleum Sarawak Bhd (Petros).

 

"Berdasarkan unjuran kami untuk pertumbuhan global yang perlahan (2.9% pada 2025 berbanding anggaran 3.2% tahun ini), kami mengunjurkan pertumbuhan lembap dalam eksport barangan dan perkhidmatan (5% pada 2025 berbanding 5.8% pada 2024) dan import (7% pada 2025 berbanding 7.5% pada 2024)," katanya. - DagangNews.com