Kepentingan keselamatan di Selat Melaka, TLDM dan Perancis laksanakan latihan bersama | DagangNews Skip to main content

Kepentingan keselamatan di Selat Melaka, TLDM dan Perancis laksanakan latihan bersama

Anggota TLDM memberikan lambaian hormat semasa berselisih dengan frigat FS Forbin dalam Eksesais La Perouse 2025 di perairan Selat Melaka.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 21 Jan - Kepentingan Selat Melaka sebagai antara laluan utama ekonomi dunia menyaksikan kawasan perairan di situ berpotensi terdedah dengan risiko keselamatan maritim.

 

Selat yang menjadi laluan kira-kira 20% daripada kapal kargo global ini dengan anggaran 85,000 buah kapal setiap tahun diawasi oleh angkatan laut termasuk dari luar.

 

Ini yang dipamerkan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Perancis menerusi latihan bersama, Eksesais La Perouse 2025 di perairan Selat Melaka.

 

Selepas kali terakhir terbabit dalam latihan 4 tahun lalu, kedua-dua angkatan tentera laut meneruskan kerjasama pertahanan bagi meningkatkan lagi tahap saling beroperasi.

 

Kapal
Kapal-kapal TLDM dalam pelayaran bersama FS Forbin.

 

Kapal

 

Latihan ini mengambil peluang dengan kehadiran kapal Tentera Laut Perancis ke perairan sebelah sini untuk mempromosikan kerjasama Indo-Pasifik bersama negara-negara ASEAN.

 

Eksesais La Perouse ialah latihan keselamatan maritim peringkat tinggi dan berskala besar yang dianjurkan oleh Perancis semasa penempatan French Carrier Strike Group (CSG) di rantau ini. 

 

Ia dilaksanakan di tiga perairan berasingan iaitu Selat Melaka, Selat Sunda dan perairan Lombok dengan 9 angkatan laut, cuma istimewanya latihan di Selat Melaka melibatkan TLDM.

 

Ini menggambarkan kesediaan Perancis mengukuhkan kerjasama pertahanan serta pada masa sama melindungi akses bebas dan terbuka kepada ruang bersama. 

 

Eksesais La Perouse 2025 di Selat Melaka melibatkan aset-aset seperti kapal KD Lekir, KD Gagah Samudera, bot peronda laju dan 2 pesawat pejuang F/A-18D Hornet.

 

Kapal

 
Kapal
Latihan bersama ini turut melibatkan cara-cara penggeledahan kapal di laut.

 

Kapal frigat pertahanan udara FS Forbin dan helikopter AS565 Panther pula mewakili Tentera Laut Perancis.

 

Frigat RS Forbin merupakan salah sebuah daripada kapal perang dalam armada French Carrier Strike Group yang melibatkan kapal pembawa pesawat Charles De Gaulle.

 

Ia berperanan memberikan perlindungan udara kepada armada tersebut semasa pelayaran.

 

Minggu lalu kapal Charles De Gaulle yang membawa 30 pesawat tempur berlabuh di Pulau Pinang sebelum meneruskan pelayaran ke Lautan Hindi.

 

Kapal
Kapal KD Gagah Samudera.

 

Kapal

 

Malaysia dan Perancis mempunyai sejarah kerjasama pertahanan yang panjang, malah negara itu juga merupakan rakan utama dalam pembangunan industri pertahanan maritim Malaysia.

 

Kapal selam kelas Perdana, Scorpene adalah aset buatan Perancis yang menyuntik pada kekuatan TLDM di perairan timur Sabah.

 

Pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) kelas Maharaja Lela yang berasaskan rekaan kapal Gowind Perancis kini turut dibantu oleh tenaga pakar negara itu untuk disiapkan. 

 

Sementara itu, TLDM dalam kenyataan memberitahu, objektif Eksesais La Perouse 2025 bagi meningkatkan kerjasama pertahanan dan maritim antara tentera laut dua negara.

 

Menurut kenyataan tersebut, ia untuk menangani cabaran maritim bersama demi keselamatan serantau.

 

 

Kapal
Frigat FS Forbin merupakan kapal pertahanan udara kepada armada French Carrier Strike Group.

 

“Eksesais ini dibahagikan pada dua peringkat iaitu Fasa Pelabuhan bermula 13 hingga 15 Januari di Pulau Pinang merangkumi perbincangan operasi, lawatan kapal, interaksi sukan dan majlis resepsi rasmi.

 

“Fasa Laut dari 16 hingga 18 Januari di perairan Selat Melaka melibatkan latihan peperangan permukaan dan udara, serta ‘Photo Exercise’,” ujar kenyataan itu.

 

Latihan di laut memberi tumpuan kepada aspek peperangan permukaan dan udara untuk memperkasakan kemampuan teknikal dan operasi kedua-dua angkatan laut. 

 

Ini bukan sahaja mempertingkatkan keupayaan taktikal kedua-dua negara, tetapi juga memperkukuhkan kesiapsiagaan aset dan kompetensi anggota TLDM dalam menghadapi senario maritim yang kompleks. - DagangNews.com