Kerajaan belanja RM3 bilion untuk ubat pada 2023, dijangka terus meningkat seiring pertambahan jumlah pesakit | DagangNews Skip to main content

Kerajaan belanja RM3 bilion untuk ubat pada 2023, dijangka terus meningkat seiring pertambahan jumlah pesakit

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 19 Nov - Kerajaan membelanjakan RM3 bilion untuk membeli ubat bagi hospital dan klinik awam pada tahun 2023, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dzulkefly Ahmad di Parlimen pada Selasa.

 

Ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof, beliau menyatakan, jumlah itu adalah peningkatan sebanyak 30 peratus daripada RM2.3 bilion pada 2015 dan dijangka terus meningkat.

 

"Peningkatan dalam peruntukan kewangan ini sejajar dengan kenaikan harga ubat, pertambahan jumlah pesakit, serta penggunaan ubat baharu yang biasanya masih dalam tempoh paten, yang menyebabkan harga ubat lebih tinggi," katanya.

 

Dzulkefly memaklumkan, kementeriannya sedang berusaha untuk mempelbagaikan pembekal insulin bagi mencegah berulangnya kekurangan bekalan yang berlaku pada Ogos lalu apabila syarikat farmaseutikal Biocon dan Novomix tidak dapat menghantar jumlah yang diperlukan.

 

"Jika kita mempunyai dasar yang meletakkan semua telur dalam satu bakul, risiko akan timbul. Jadi, pertama sekali, kami tidak mahu berada dalam situasi sedemikian lagi.

 

"Di masa hadapan, kami tidak akan membenarkan kontrak diberikan hanya kepada satu syarikat untuk membekalkan item seperti insulin manusia. Kami akan memperluas sumber kami," katanya sebagai respons kepada soalan tambahan daripada Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Alias Razak.

 

Beliau juga berkata, kerajaan sedang berunding untuk pembelian insulin sintetik, tetapi menekankan bahawa harganya adalah tiga kali ganda berbanding insulin manusia.

 

Beliau turut menambah bahawa kerajaan komited untuk memastikan ketersediaan ubat dalam Senarai Ubat Penting Nasional dengan mempromosikan peningkatan pengeluaran tempatan, memberi keutamaan kepada penilaian dan pendaftaran produk, serta meningkatkan ketelusan rantaian bekalan melalui pembangunan sistem jejak dan kenal pasti produk farmaseutikal.

 

Dari tahun 2015 hingga 2023, kerajaan juga katanya telah membelanjakan RM23.2 bilion untuk ubat. - DagangNews.com