KUALA LUMPUR 11 Dis - Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bersama agensinya, Cradle Fund Sdn. Bhd. (Cradle), mengumumkan lima rumusan oleh syarikat tempatan sebagai pemenang Program MYHackathon 2024 Kohort 2.
Setiap pemenang akan menerima geran bersyarat sehingga RM250,000 untuk membangunkan projek perintis mereka, serta bimbingan pelaksanaan projek selama 12 bulan.
Semua pemenang juga akan bekerjasama rapat dengan agensi-agensi terlibat bagi memperhalusi rancangan pelaksanaan rumusan mereka.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata, beliau kagum dengan kualiti idea dan rumusan yang diketengahkan.
"Inovasi yang dipersembahkan bukan sahaja praktikal, tetapi juga sejajar dengan keperluan transformasi digital negara.
"Saya yakin sebahagian daripadanya boleh dikomersialkan dan diperluaskan pada masa depan," katanya semasa berucap pada majlis penutupan program di Institut Perbankan Berkanun Asia (AICB), Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Lima pemenang MYHackathon 2024 Kohort 2 adalah AERIAL WORKS, BeyondVISIBLE, Leogics Solution, Electserve dan VL JEJAK yang masing-masing berjaya menyelesaikan masalah dihadapi oleh jabatan atau agensi kerajaan.
Untuk edisi 2024, MOSTI melalui Cradle melancarkan dua kohort di bawah tema Hackathon Nasional Untuk Malaysia MADANI pada 23 September dan 25 November yang lalu.
Kedua-dua kohort itu mengenal pasti 12 masalah kritikal daripada pelbagai kementerian, agensi dan kerajaan tempatan dengan tujuh daripadanya untuk kohort pertama dan lima lagi pada kohort kedua.
Inisiatif berkenaan menerima respons yang amat menggalakkan, dengan sejumlah 419 masalah dikemukakan untuk edisi pertama dan 391 untuk edisi kedua, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 810.
Tambahan pula, MYHackathon 2024 menerima 3.8% (103) permohonan dari Sabah dan Sarawak untuk kohort 1 dan 3.9% (101) permohonan untuk kohort 2.
Sejak penubuhannya pada 2020, Program MYHackathon yang diadakan dua tahun sekali telah menghasilkan beberapa rumusan inovatif dan berimpak tinggi daripada rakyat Malaysia untuk digunakan dalam pelbagai perkhidmatan kerajaan.
Antara rumusan yang dibangunkan adalah Gajah Safe Sdn. Bhd. oleh Satok Bridge Digital Sdn. Bhd., yang menyepadukan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan kamera pengesanan untuk mengurangkan konflik antara manusia dan haiwan, serta Sistem Pengesanan Anti Dron (DDS) oleh FlyBots Technology, yang menyediakan rumusan untuk mengawal pencerobohan dron bagi penyeludupan atau pemantauan tanpa kebenaran di kawasan larangan. - DagangNews.com