Lima syarikat China berminat melabur di Taman Industri RE Gerbang Nusajaya | DagangNews Skip to main content

Lima syarikat China berminat melabur di Taman Industri RE Gerbang Nusajaya

Gerbang Nusajaya. Gambar/UEM Sunrise
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 10 Okt - Dalam usaha memajukan sektor tenaga boleh diperbaharui Malaysia, lima syarikat terkemuka China menyatakan minat untuk membeli dan menubuhkan kemudahan pembuatan tempatan di Taman Industri Tenaga Boleh Diperbaharui (RE) UEM Sunrise Berhad (UEM Sunrise) yang terletak di Gerbang Nusajaya, Iskandar Puteri, Johor.

 

Syarikat-syarikat itu akan mengisi tanah seluas 16.2 hektar di Taman RE seperti yang diumumkan sebelum ini antara UEM Group Berhad dan anak syarikatnya, UEM Sunrise, bersama ITRAMAS Corporation Sdn Bhd (ITRAMAS) dan China Machinery Engineering Corporation (CMEC).

 

Antara syarikat yang terlibat termasuk firma terkemuka industri seperti China Machinery Engineering Wuxi Co. Ltd. (CMEC WUXI) dan Wuxi Longmax Technology Co., Ltd. (Longmax), pemimpin global dalam penyelesaian kotak penggabung solar (PV) dan eBOS. 

 

Kedua-dua syarikat itu sudah dalam proses menubuhkan kemudahan pembuatan tempatan di Malaysia, serta membangunkan kemudahan pengeluaran modul solar dan kotak penggabung di Taman RE.

 

gerbang nusajaya
Dari kiri, Penolong Pengurus Bahagian Loji Lengkap Ke-5 CMEC, Hu Jianhui; Ketua Pegawai Eksekutif UEM Sunrise, Sufian Abdullah; Menteri Ekonomi, Mohd Rafizi Ramli; Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad; Pengarah Urusan ITRAMAS, Lee Choo Boo; dan Pengarah Urusan Kumpulan UEM, Dato’ Amran Hafiz Affifudin semasa majlis pertukaran perjanjian antara UEM Sunrise, ITRAMAS dan CMEC.

 

Selain itu, pengeluar RE antarabangsa lain seperti Gotion untuk Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri, Hopewind untuk Inverter Solar dan Huasun untuk modul Heterojunction (HJT) juga sedang berbincang untuk melabur di taman industri tersebut dan mengambil bahagian sebagai pembeli tenaga boleh diperbaharui.

 

Perkembangan itu diumumkan dalam Majlis Pertukaran Perjanjian yang diadakan hari ini di antara UEM Sunrise, ITRAMAS dan CMEC, selepas pemeteraian asal Memorandum Persefahaman (MoU) pada Mei 2024 di Beijing oleh ketiga-tiga syarikat tersebut.

 

Majlis disaksikan oleh Menteri Ekonomi, Mohd Rafizi Ramli dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi bin Nik Ahmad semasa Pameran dan Persidangan Produk Eco & Greentech Antarabangsa Malaysia (IGEM) 2024.

 

Taman RE adalah sebahagian daripada projek loji kuasa solar hibrid satu (1) gigawatt (GW), sebuah projek di bawah Pelan Peralihan Tenaga Kebangsaan Malaysia (NETR) yang akan dilaksanakan oleh Kumpulan UEM melalui anak syarikat milik penuhnya, UEM Lestra Berhad (UEM Lestra). 

 

Projek itu dijangka memainkan peranan penting dalam infrastruktur tenaga boleh diperbaharui Malaysia, memupuk pertumbuhan pasaran tempatan dan serantau serta meletakkan Malaysia sebagai hab tenaga berkenaan di ASEAN.

 

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) UEM Lestra, Harman Faiz Habib Muhamad berkata, Taman RE di Gerbang Nusajaya adalah komponen penting dalam projek loji kuasa solar hibrid 1GW di bawah NETR. 

 

"Minat daripada syarikat asing dan penglibatan mereka dalam projek ini akan meletakkan Malaysia secara strategik untuk memacu pertumbuhan ekonomi melalui pelaburan langsung asing," katanya dalam satu kenyataan.

 

CEO UEM Sunrise Sufian Abdullah menyatakan, kerjasama tersebut bukan sahaja mengukuhkan visi bersama untuk masa depan tenaga boleh diperbaharui Malaysia, tetapi juga menonjolkan komitmen UEM Sunrise untuk menyokong rakan-rakan peniaga.

 

"Ketika kami menubuhkan Gerbang Nusajaya sebagai hab tenaga regeneratif, UEM Sunrise menantikan penyediaan infrastruktur, sumber dan semangat kerjasama yang diperlukan untuk merealisasikan visi ini dengan cara yang bertanggungjawab dan lestari," ujar beliau.

 

Pengarah Urusan Kumpulan ITRAMAS Corporation, Lee Choo Boo, menekankan kewujudan Taman RE sebagai bukti komitmen Malaysia terhadap tenaga boleh diperbaharui yang mampu menyokong peralihan tenaga yang lebih luas di Malaysia di bawah kerangka NETR.

 

Pengurus Besar CMEC WUXI, Kathy Xu pula menyifatkan, kerjasama itu menggabungkan teknologi terkini dan kepakaran industri mendalam untuk mencipta penyelesaian lestari bagi landskap tenaga yang sedang berubah.

 

Bagi CEO Longmax, Henry Yang, syarikatnya teruja memperlihatkan kemampuan pembuatannya dan menyumbang kepada sektor tenaga diperbaharui Malaysia yang sedang berkembang. - DagangNews.com