MIDA luluskan empat projek hijau berkualiti tinggi dengan jumlah pelaburan RM1.8 bilion | DagangNews Skip to main content

MIDA luluskan empat projek hijau berkualiti tinggi dengan jumlah pelaburan RM1.8 bilion

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 10 Okt - Lembaga Pembangunan Industri Malaysia (MIDA) meluluskan empat projek hijau berkualiti tinggi dengan jumlah pelaburan sebanyak RM1.8 bilion bagi separuh pertama tahun 2024.

 

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata, projek berkenaan diluluskan di bawah bidang tenaga boleh diperbaharui (RE) dan mobiliti hijau yang dikenal pasti dalam Strategi Pelaburan Hijau (GIS), menekankan komitmen MIDA untuk mempromosikan pembangunan lestari di Malaysia.

 

Katanya, ia turut didorong matlamat negara untuk menarik pelaburan hijau sebanyak RM300 bilion menjelang 2030, seperti yang digariskan dalam GIS.

 

Jelas beliau, syarikat memberi tumpuan kepada tujuh bidang utama iaitu tenaga boleh diperbaharui, kecekapan tenaga, hidrogen, biojisim, mobiliti hijau, pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) serta ekonomi kitaran.

 

"Pelaburan ini dirancang untuk mendorong pembangunan sosioekonomi yang mampan, sambil memastikan pengurangan intensiti pelepasan karbon berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 45 peratus menjelang 2030, berbanding paras 2005.

 

"Ekonomi hijau mewakili sempadan baharu bagi pertumbuhan Malaysia dan kami komited untuk merebut peluang ini seiring dengan momentum dunia yang bergerak ke arah masa depan rendah karbon dan perniagaan yang semakin memerlukan kepakaran untuk mengurus jejak karbon," katanya pada Persidangan dan Pameran Antarabangsa Teknologi Hijau dan Produk Eko Malaysia (IGEM) hari ini.

 

Tambahnya, Malaysia sedang mengembangkan ekosistem perkhidmatan berkaitan karbon seperti pembangunan projek, pembiayaan, perdagangan karbon dan perkhidmatan nasihat rendah karbon.

 

Sementara itu, sebanyak tujuh syarikat mengambil bahagian dalam pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) pada IGEM dengan nilai pelaburan keseluruhan melebihi RM1 bilion.

 

Pelaburan berkenaan dijangka memberikan impak terhadap landskap teknologi hijau Malaysia.

 

Kerjasama terbabit bertujuan memajukan penyelesaian tenaga mampan di Malaysia, dengan tumpuan kepada pembangunan projek solar termasuk Skim Tenaga Boleh Diperbaharui Korporat (CRESS), penempatan dan operasi Sistem Simpanan Tenaga Bateri (BESS) dan penyelidikan dalam tenaga boleh diperbaharui.

 

Perkongsian strategik itu juga dijangka memberikan dorongan yang bermakna kepada pertumbuhan sektor tenaga boleh diperbaharui Malaysia. - DagangNews.com