KUALA LUMPUR 9 Dis - Syarikat usaha sama Malayan Flour Mills Bhd iaitu Dindings Poultry Development Centre Sdn Bhd hari ini mengumumkan mereka gagal dalam usahanya untuk menangguhkan pembayaran denda RM70 juta oleh Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) atas tuduhan membentuk kartel penetapan harga.
Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, Tribunal Rayuan Persaingan (CAT) pada Jumaat lepas menolak permohonan Dinding Poultry bagi penangguhan keputusan MyCC mengenai denda sementara menunggu keputusan syarikat kepada CAT terhadap keputusan MyCC.
Dinding Poultry akan memfailkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi terhadap keputusan CAT mengenai permohonan penangguhan itu.
Harga saham syarikat itu turun 1.8% kepada 55 sen sebelum ini, memberikannya permodalan pasaran RM681.5 juta.
Pada Jumaat lalu, Leong Hup International Bhd dan PPB Group Bhd mengumumkan, unit pengilang makanan ayam mereka gagal dalam usaha menangguhkan pembayaran denda berjumlah RM200 juta yang dikenakan oleh MyCC.
Leong Hup Feedmill Malaysia Sdn Bhd dikenakan jumlah denda tertinggi antara lima syarikat, iaitu RM157.5 juta. Manakala, FFM Bhd Kumpulan PPB didenda RM42.7 juta.
Leong Hup Feedmill juga akan memfailkan permohonan kebenaran untuk semakan kehakiman terhadap keputusan CAT mengenai permohonan penangguhan itu.
Sementara FFM berkata, ia akan berunding dengan penasihat undang-undangnya mengenai tindakan sewajarnya yang perlu diambil berikutan CAT menolak permohonannya.
Pada Disember 2023, MyCC mengenakan denda berjumlah RM415 juta terhadap Leong Hup Feedmill Malaysia Sdn. Bhd, PPB's FFM Bhd, Gold Coin Feedmills (Malaysia) Sdn. Bhd, DPDC Malayan Flour Mills dan PK Agro-Industrial Products (M) Sdn Bhd kerana membentuk kartel penetapan harga makanan ayam.
Selain denda, kelima-lima mereka juga diarah menghentikan penyertaan dalam kartel dan mengemukakan laporan mengenai kenaikan dan penurunan harga makanan ayam.- DagangNews.com