Malaysia kekalkan kedudukan pendahulu dalam persaingan pelaburan hartanah antarabangsa - Juwai IQI | DagangNews Skip to main content

Malaysia kekalkan kedudukan pendahulu dalam persaingan pelaburan hartanah antarabangsa - Juwai IQI

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 10 Dis - Malaysia mengekalkan kelebihannya sebagai pendahulu berbanding pesaing serantau dalam persaingan pelaburan hartanah antarabangsa, kata firma hartanah global, Juwai IQI.

 

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan, Kashif Ansari berkata, data menunjukkan Malaysia berjaya meningkatkan jumlah pembeli rumah asingnya berbanding pesaing di ASEAN.

 

Beliau berkata, Malaysia mengatasi prestasi dalam dua bidang utama iaitu pasaran hartanah yang stabil dan keperluan visa yang menarik untuk ahli perniagaan, nomad digital dan pesara kaya.

 

"Sejumlah 9,815 pemegang visa program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H), Program Visa Premium Malaysia (PVIP) atau Sarawak dan Sabah telah memberikan sumbangan kepada ekonomi Malaysia dengan mengimport serta membelanjakan sejumlah RM5.1 bilion (AS$1.1 bilion) secara domestik.

 

"Juwai IQI percaya pelaburan hartanah asing di negara ini berkemungkinan meningkat pada 2025. Kami mengira jumlah perbelanjaan menggunakan nombor kelulusan yang diumumkan secara rasmi untuk pelbagai program visa," katanya dalam atu kenyataan, hari ini.

 

juwai
Kashif Ansari

 

Kashif berkata, negara-negara di seluruh dunia bersaing untuk menarik pesara, nomad digital dan ahli perniagaan untuk menjadi pemastautin baharu kerana faedah ekonomi yang mereka bawa bersama.

 

Beliau berkata, rakyat Malaysia harus tahu bahawa program visa pelaburan seperti MM2H adalah perkara biasa di seluruh dunia.

 

"Kumpulan teratas yang mengambil bahagian dalam program visa Malaysia ialah mereka dari China, United Kingdom, Hong Kong, Amerika Syarikat (AS), Singapura, Korea Selatan, Jepun, Australia dan Indonesia," katanya.

 

Katanya, tawaran visa Malaysia adalah kompetitif dengan program yang sering dianggap sebagai alternatif kepadanya kerana keperluan kewangannya adalah sederhana, peserta boleh memilikinya rumah sendiri, dan Malaysia menawarkan persekitaran hidup yang lebih menarik daripada beberapa alternatif yang lebih murah.

 

Sarawak dan Sabah juga menawarkan visa MM2H dengan beberapa keperluan yang lebih menarik daripada pilihan persekutuan.

 

"Pada 2025 kami meramalkan pembelian rumah daripada warga asing di Malaysia akan mencatatkan peningkatan mampan iaitu tidak melebihi 5% dengan pemegang asing visa pelaburan Malaysia akan berbelanja sekurang-kurangnya RM166 juta kepada ekonomi negara.

 

"Kumpulan pembeli teratas berkemungkinan kekal tidak berubah, dengan kumpulan dari China akan mendahului senarai itu," katanya.- DagangNews.com