KUALA LUMPUR 29 Okt - MIDF Research kekal optimis terhadap pendapatan Mah Sing didorong oleh jualan hartanah yang lebih tinggi.
Firma penyelidikan itu menjangkakan, Mah Sing akan menjana sekurang-kurangnya RM2.5 bilion pada FY24 memandangkan permintaan rumah mampu milik kekal berdaya tahan.
Dalam pada itu, MIDF Research mengekalkan ramalan terhadap pendapatan Mah Sing bagi FY24 sehingga FY26 susulan pembangunan pusat data kedua kumpulan itu yang dijangka mula beroperasi pada FY26.
Pada Isnin, Mah Sing telah menandatangani perjanjian kerjasama kedua dengan Bridge Data Centres (BDC) bagi mengembangkan Mah Sing DC Hub@Southville City dengan menambahkan 200 megawatt(MW) kapasiti kuasa hab itu.
"Kerjasama lanjutan Mah Sing dengan BDC dijangka meningkatkan pendapatan berulang kumpulan dan memberikan peluang untuk memenuhi permintaan pusat data di Malaysia.
"Perkongsian itu akan menambah kapasiti kuasa 200MV tambahan pada 14.44 hektar tanah itu.
"Kami kekal positif terhadap Mah Sing kerana prospek jualan baharu akan disokong oleh pembelian kediaman mampu milik yang kukuh," katanya dalam satu nota penyelidikan, hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN : Mah Sing, Bridge DC tambah kapasiti 200MW di hab pusat data Southville City
MIDF Research mengekalkan saranan 'beli' terhap Mah Sing dengan menaikkan harga sasaran (TP) kepada RM2.01 daripada RM1.97 sesaham.
Sementara itu, MIDF Research juga mengecilkan diskaun nilai aset bersih (RNAV) kepada 13% daripada 15% didorong oleh pendapatan yang lebih baik daripada usaha pembangunan pusat data. - DagangNews.com