MRC unjur keluaran, eksport getah Malaysia jana lebih RM30 bilion menjelang akhir 2024 | DagangNews Skip to main content

MRC unjur keluaran, eksport getah Malaysia jana lebih RM30 bilion menjelang akhir 2024

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 24 Sept - Majlis Getah Malaysia (MRC) mengunjurkan eksport getah dan keluaran getah Malaysia menjana lebih RM30 bilion menjelang akhir tahun, didorong oleh prestasi kukuh pada separuh pertama 2024 (1H2024).

 

Eksport getah dan keluaran getah meningkat semula dengan ketara pada 1H2024 hingga mencecah RM15.5 bilion, menunjukkan peningkatan 16.3% berbanding tempoh yang sama pada tahun lepas. 

 

MRC berkata, produk getah menjana 70.5%, atau RM10.9 bilion daripada jumlah keseluruhan manakala eksport getah pula menjana RM4.6 bilion. 

 

"Ini mencerminkan pertumbuhan tahun ke tahun (YoY) yang ketara iaitu 29.4%," ujarnya dalam satu kenyataan. 

 

Selain itu MRC menekankan sarung tangan getah kekal penyumbang terbesar, di mana 62.5% daripada jumlah produk getah yang dieksport mencecah RM6.8 bilion pada 1H2024 berbanding RM5.8 bilion pada tempoh yang sama tahun lepas, menunjukkan pertumbuhan sebanyak 16.7%.

 

"Sarung tangan perubatan menyumbang RM5 bilion, mencerminkan pertumbuhan 15.7% didorong oleh permintaan global terhadap sarung tangan Malaysia berkualiti tinggi, terutamanya daripada sektor penjagaan kesihatan.

 

"Tayar merupakan produk getah kedua paling banyak dieksport, kebanyakannya tayar pneumatik baharu, menyaksikan prestasi bercampur merentas pasaran pada 1H2024. 

 

"Eksport tayar ke Brazil menunjukkan peningkatan kukuh sebanyak 22.5%, tetapi secara keseluruhan jatuh sedikit 1.7%, kepada jumlah RM962 .8 juta," katanya. 

 

Selain sarung tangan, MRC berkata, produk lateks seperti kateter getah dan benang lateks juga menunjukkan prestasi yang baik. Eksport kateter meningkat sebanyak 15.8% kepada RM298.1 juta manakala benang lateks menyaksikan peningkatan 15.5% kepada RM282.5 juta pada 1H2024.

 

"Eksport barangan getah perindustrian dan am Malaysia juga menunjukkan pertumbuhan positif pada 1H2024, masing-masing meningkat 6.7% kepada RM933.9 juta dan 5.1% kepada RM854.2 juta.

 

"Eksport kasut juga mencatatkan peningkatan 5.6%, menjana RM364.9 juta kepada jumlah nilai eksport," ulasnya. 

 

Menurut MRC, Amerika Syarikat terus menjadi pasaran terbesar bagi keluaran getah Malaysia, merangkumi 31.4% daripada jumlah eksport produk getah bernilai RM3.43 bilion, mencermin peningkatan ketara iaitu 23.1% berbanding tempoh yang sama pada 2023.

 

Destinasi eksport utama lain pada 1H2024 termasuk China, dengan eksport bernilai RM593.1 juta, Jepun (RM586.4 juta), Jerman (RM581 juta) dan Singapura (RM470.1 juta).- DagangNews.com