KUALA LUMPUR 6 Dis - Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) menyatakan pelan penstrukturan semulanya tidak dibatalkan sebaliknya diperhalusi bagi menangani cabaran semasa dan peluang baharu selaras dengan situasi pasaran.
Katanya, pelan penstrukturan yang diperhalusi itu bertujuan mengurangkan pendedahan portfolio LTAT dalam pelaburannya dalam Boustead Holdings Bhd dan Affin Bank Bhd kepada 35%, peningkatan daripada sasaran 50% di bawah rancangan awal.
LTAT juga menegaskan, inisiatif pelupusan aset adalah langkah strategik, bukannya penyelesaian jangka pendek.
"Pendekatan ini bertujuan untuk mengurangkan kebergantungan berlebihan terhadap pelaburan dalam Boustead-Affin dan selaras dengan cadangan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang menggesa LTAT bagi mempelbagaikan portfolio.
"Tatakelola dan proses pelupusan aset yang telus di setiap entiti Kumpulan LTAT, adalah untuk memastikan penjanaan nilai optimum dapat dihasilkan, dan dilaburkan semula ke dalam aset berdaya tinggi dan mampan untuk meningkatkan daya tahan kewangan LTAT serta menjamin kebajikan pencarum LTAT dalam jangka panjang.
"Transaksi akan dilaksanakan dengan ketelusan dan integriti yang tinggi," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: PAC persoal sama ada pelupusan aset jadi sebahagian rancangan penstrukturan semula LTAT baharu
LTAT juga menegaskan, semua transaksi yang dilakukan adalah sejajar dengan kepentingan strategik negara seperti yang digariskan dalam Kerangka Ekonomi Madani.
Menjelaskan mengenai dua transaksi yang dirujuk, lembaga itu menegaskan ia serta syarikat kumpulannya tidak memiliki sebarang tanah di Batu Kawan.
"Kenyataan mengenai pelupusan tanah ini adalah tidak benar dan mengelirukan," katanya.
Mengenai transaksi Eco World Development Group Bhd (EcoWorld), LTAT berkata, Boustead Properties telah menjemput 19 syarikat, termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan firma swasta, untuk menyertai proses Notis Pelawaan Cadangan (RFP).
Katanya, daripada 10 syarikat yang menyatakan minat, hanya satu syarikat iaitu Eco World Development Group Bhd, syarikat milik majoriti Bumiputera, telah mengemukakan cadangan setelah melalui proses tender yang ketat dan telus.
"EcoWorld, melalui syarikat usaha sama Mutiara Balau Sdn Bhd dipilih selepas penilaian menyeluruh. Faktor utama dalam keputusan ini termasuk tawaran komersial kompetitif EcoWorld, cadangan pembangunan yang inovatif, kedudukan kewangan yang kukuh, dan rekod pencapaian yang terbukti di Malaysia serta pasaran antarabangsa," katanya.
Sementara itu, pelupusan tanah di Semenyih kepada Mutiara Balau bertujuan memacu pertumbuhan kawasan pinggir bandar yang sedang berkembang, meningkatkan nilai, serta menyokong objektif ekonomi Madani.
Selain itu, hasil tunai daripada transaksi ini akan memainkan peranan penting dalam membiayai program penanaman semula kelapa sawit oleh Boustead Plantation bagi memastikan pemulihan tanah yang telah matang dan meningkatkan kecekapan operasi.
"Pendekatan strategik ini bukan sahaja akan mengukuhkan kelestarian jangka panjang syarikat, tetapi juga sejajar dengan keutamaan negara melalui pengoptimuman penggunaan tanah untuk pertumbuhan ekonomi.
"Berganding bersama dengan GLC lain, sebarang transaksi korporat Kumpulan LTAT bertujuan untuk menyokong pembangunan sektor strategik ekonomi utama, termasuk industri berimpak tinggi seperti semikonduktor dan tenaga boleh diperbaharui, yang menyumbang secara signifikan kepada kemajuan ekonomi Malaysia. - DagangNews.com