KUALA LUMPUR 28 Nov - MIDF Research meramalkan pengeluaran buah tandan segar (BTS) Genting Plantations Bhd menyusut pada tahun hadapan berikutan cuaca buruk dan keadaan biologi semasa pokok.
Katanya, pengeluaran semasa BTS menyusut sebanyak 6% dari suku tahun ke suku tahun disebabkan impak daripada kesan biologi pokok.
Bagaimanapun, pengeluaran di Indonesia kekal kukuh, dengan profil umur pokok yang menggalakkan serta kawasan penghasilan yang luas.
Firma penyelidikan tu berkata, pengeluaran di Malaysia bagaimanapun kekal lemah berikutan aktiviti penanaman semula berskala besar, meliputi kira-kira 3,500 hektar dan keadaan cuaca hujan yang menjadikan proses pemindahan BTS lebih mencabar.
"Purata harga jualan (ASP) sebaliknya, meningkat sedikit pada RM3,725/Mt dan RM2,590/Mt masing-masing, untuk minyak sawit mentah (MSM) dan isirung kelapa sawit (PK).
ARTIKEL BERKAITAN: Untung bersih Genting Plantations pada 3QFY24 meningkat kepada RM83.05 juta tetapi hasil menyusut kesan jualan rendah
"Perkembangan kawasan matang sedia ada akan memberikan lebih tinggi di Indonesia dan boleh membantu mengurangkan sebahagian daripada penurunan ini.
"Aktiviti penanaman semula yang berterusan di Malaysia boleh memberi kesan sederhana ke atas pertumbuhan pengeluaran keseluruhan kumpulan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Terdahulu, keuntungan bersih suku ketiga meningkat sedikit sebanyak 3.15% daripada suku yang sama tahun sebelumnya walaupun hasil yang lebih rendah, hasil daripada pendapatan lain yang lebih tinggi disebabkan oleh kesan turun naik mata wang asing ke atas rizab tunai dan pinjaman dalam denominasi dolar AS kumpulan itu.
Ia mencatatkan keuntungan bersih RM83.05 juta bagi suku ketiga berakhir 30 Sept 2024 (3QFY2024), meningkat daripada RM80.52 juta pada 3QFY23.
Firma penyelidikan itu berkata, prospek hiliran kumpulan itu kekal mencabar, memandangkan persaingan sengit daripada rakan setaranya di Indonesia berikutan perubahan terbaru dalam levi eksport dan lebihan kapasiti loji penapisan di negara itu.
"Kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM6.10 sesaham," katanya. - DagangNews.com