Peningkatan harga minyak sawit mentah, RHB Investment ramal SD Guthrie catat hasil lebih baik pada 4QFY24 | DagangNews Skip to main content

Peningkatan harga minyak sawit mentah, RHB Investment ramal SD Guthrie catat hasil lebih baik pada 4QFY24

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 21 Nov - RHB Investment meramalkan SD Guthrie Bhd mencatatkan keputusan lebih baik pada 4QFY24 didorong oleh harga minyak sawit mentah (MSM) yang lebih kukuh serta margin industry hiliran yang bertambah baik.

 

Katanya, pendapatan pembangunan hartanah baharu juga akan memberi sokong kepada pendapatan jangka panjang kumpulan.

 

Firma penyelidikan itu menyukai kumpulan itu kepada strategi kepelbagaiannya yang dipercayai akan mula membuahkan hasil bermula FY25.

 

"Pengeluaran buah tandan segar (BTS) kumpulan pada 3QFY24 meningkat 4% dari suku tahun ke suku tahun menjadikan pengeluaran pada 9MFY24 meningkat 2.4%

 

"Sehingga Oktober 2024, BTS berkembang 1.6% dari tahun ke tahun dan kami mengekalkan anggaran pertumbuhan BTS kumpulan bagi FY24-FY26 antara 2% hingga 7%," katanya dalam atu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, kumpulan itu melaporkan kejatuhan 36.75% dalam keuntungan bersih bagi 3QFY24 disebabkan ketiadaan keuntungan ke atas pelupusan tanah, walaupun harga MSM lebih tinggi.

 

Keuntungan bersih bagi 3QFY24 ialah RM766 juta atau 11.1 sen sesaham, berbanding RM1.21 bilion atau 17.5 sen sesaham setahun sebelumnya, kata pengeluar minyak sawit terbesar dunia mengikut keluasan.

 

Pada 3QFY23, SD Guthrie mengiktiraf keuntungan pelupusan sebanyak RM600 juta daripada menjual 384 hektar tanah di Kapar, Selangor. Pendapatan berulang kumpulan sebelum faedah dan cukai berjumlah RM765 juta pada 3QFY24, penurunan marginal 3% daripada RM785 juta setahun lalu.

 

Firma penyelidikan itu berkata, penurunan hasil bagi segmen hiliran dari suku tahun ke suku tahun disebabkan oleh keuntungan yang lebih lemah yang dijana daripada margin yang lebih rendah dari rantau Eropah dan keuntungan yang lebih rendah daripada sumbangan syarikat kerjasama.

 

Bagaimanapun, sebahagiannya diimbangi oleh keuntungan yang bertambah baik daripada operasi pukal di rantau Asia Pasifik, didorong oleh permintaan volum yang lebih tinggi.

 

"Kami menjangkakan segmen ini akan bertambah baik didorong oleh margin yang lebih kukuh di Eropah dan Oceania, dan oleh itu, mengekalkan margin hiliran kami pada 3.5-4.5% untuk FY24-FY26 tidak berubah," katanya.

 

RHB Investment mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM5.75 sesaham. - DagangNews.com