RCEP berpotensi mengukuhkan ekonomi, inovasi, kesalinghubungan di Asia Pasifik — Ismail Sabri | DagangNews Skip to main content

RCEP berpotensi mengukuhkan ekonomi, inovasi, kesalinghubungan di Asia Pasifik — Ismail Sabri

Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 9 Dis - Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) berpotensi menjadi pemangkin besar untuk memacu pertumbuhan ekonomi, inovasi dan kesalinghubungan di Asia Pasifik, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

 

Menyampaikan ucapan penutupnya di Forum China-RCEP di Shanghai, China pada Sabtu, bekas perdana menteri itu berkata kemajuan yang dicapai akan memberi kesan langsung kepada perniagaan, komuniti dan ekonomi serantau.

 

“Sebagai contoh, dari Januari hingga Mac tahun ini, eksport ke negara RCEP menyumbang 29% daripada jumlah eksport Malaysia, mencecah RM203 juta.

 

"Statistik ini menekankan keupayaan perjanjian untuk mengurangkan risiko berkaitan yang datang dengan bergantung pada satu wilayah sahaja," katanya.

 

Terdahulu, Ismail Sabri menyaksikan majlis menandatangani dua memorandum persefahaman (MOU) melibatkan syarikat Malaysia Ireef Farmpool Sdn Bhd, Naturale Recreation Management Sdn Bhd, dan Malaysian Aquaculture Group Holdings Bhd, dengan firma China Hainan Zhanyu Biotechnology Co Ltd.

 

 

ismail sabri
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berucap pada Forum China-RCEP di Shanghai, China pada 7 Disember 2024.

 

 

Ismail Sabri berkata dengan mengukuhkan hubungan perdagangan di Asia Pasifik, Malaysia bukan sahaja melindungi negara daripada potensi gangguan bekalan tetapi juga mewujudkan peluang baharu untuk mempelbagaikan eksport dan meningkatkan kerjasama industri.

 

"RCEP meningkatkan akses kepada pasaran besar seperti China dan 1.41 bilion penduduknya, dan Indonesia dengan 275 juta.

 

"Oleh itu, integrasi ekonomi ini memberi manfaat kepada kita semua [yang] berhadapan dengan kerumitan perdagangan global, terutamanya dalam konteks ketidakstabilan di Timur Tengah dan Eropah Timur," katanya.

 

Beliau berkata pelbagai isu kritikal seperti kemudahan perdagangan, daya tahan rantaian bekalan, transformasi digital dan pembangunan mampan telah dibincangkan melalui forum itu.

 

"Ini bukan sahaja idea abstrak tetapi mempunyai keutamaan yang boleh diambil tindakan untuk membina kerjasama China-Asean.

 

"Forum ini telah meletakkan asas bagi hubungan yang lebih mendalam dan perkongsian baharu untuk memacu kemakmuran bersama," katanya.

 

RCEP ialah perjanjian perdagangan bebas terbesar di dunia, melibatkan 15 negara di Asia Pasifik, termasuk 10 negara anggota Asean dan lima rakan serantau — China, Jepun, Korea Selatan, Australia dan New Zealand. - DagangNews.com