KUALA LUMPUR 19 Nov - RHB Islamic Bank Berhad (RHB Islamic) mengukuhkan komitmennya dalam Pengurusan Kewangan Islam dengan melancarkan program persijilan RHB Islamic Specialist Wealth Advisor (RISWA), yang dibangunkan khusus untuk meningkatkan dan memantapkan lagi tahap kebolehupayaan para pegawai perhubungan dalam menawarkan nasihat kewangan Islam kepada umum.
Selaku perintis dalam bidang pengurusan kewangan Islam, RHB Islamic merupakan bank Islam pertama di Malaysia yang melaksanakan program berkenaan.
RISWA merupakan program persijilan komprehensif bertujuan melengkapkan pegawai perhubungan dengan pengetahuan yang lebih mendalam mengenai prinsip pengurusan kewangan Islam, produk dan keperluan pelanggan secara lebih berstruktur dan komprehensif.
Ia direka bentuk dan dibangunkan secara kolektif, hasil kerjasama erat dengan Islamic Banking and Finance Institute Malaysia (IBFIM).
Program itu mencakupi modul-modul berimpak tinggi berteraskan prinsip pembentukan kekayaan, pengumpulan, perlindungan, penyucian dan pengagihan dalam konteks syariah.
Berbekalkan kefahaman yang kukuh terhadap prinsip-prinsip teras tersebut beserta kemampuan berkomunikasi dengan pelanggan, pegawai perhubungan RHB mampu memberi solusi berteraskan syariah yang selari dengan matlamat kewangan pelanggan dan nilai-nilai spiritual.
Inisiatif terbabit dilihat sebagai pemacu kemampuan bank untuk menawarkan pengalaman pengurusan kewangan holistik dan keseimbangan dalam pelbagai aspek termasuk kewangan, etika dan tanggungjawab sosial.
Pengarah Urusan RHB Islamic Bank Berhad, Dato’ Adissadikin Ali berkata, pengurusan kewangan Islam bukan sekadar menjauhi riba atau mematuhi prinsip-prinsip syariah, ia adalah tentang penerapan nilai-nilai etika dalam setiap aspek pembentukan kekayaan dan pengurusan.
"Program RISWA ini membolehkan pengurus perhubungan mendalami produk-produk sedia ada dan memahami aspirasi kewangan dan nilai-nilai yang dimiliki oleh pelanggan.
"Ia adalah satu bentuk pemerkasaan yang membolehkan pengurus perhubungan menjadi penasihat yang berkredibiliti dalam memberikan pelanggan solusi kewangan ke arah masa hadapan yang mampan dan lebih beretika," katanya dalam satu kenyataan.
Ketua Pengawai Eksekutif IBFIM, Yusry Yusoff berkata, sebagai institusi pembelajaran sepanjang hayat, pihaknya berbangga untuk berkolaborasi dengan RHB Islamic dalam mereka bentuk dan membangunkan program RISWA.
"Dibangunkan selari dengan input dan matlamat RHB Islamic, program ini membolehkan pengurus perhubungan untuk memberikan khidmat nasihat dan pengetahuan terbaik kepada segenap lapisan pelanggan RHB Islamic," ujar beliau.
Sejajar dengan strategi RHB untuk menjadi bank pilihan utama semua yang mengutamakan pengalaman pelanggan dan memacu pembangunan yang berkualiti, program RISWA merupakan tunjang utama dalam mencapai sasaran pengurusan kewangan Islam RHB Islamic berjumlah RM6 bilion menjelang 2026.
Program terbabit mengukuhkan lagi kemampuan bank menawarkan solusi pengurusan kewangan berkualiti tinggi yang lebih khusus untuk pelanggan, dalam usaha menyokong matlamat pengurusan kewangan Islam. - DagangNews.com