KUALA LUMPUR 26 Nov - RichTech Digital Bhd memeterai perjanjian taja jamin dengan KAF Investment Bank Bhd dalam perjalanannya menerbitkan tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran ACE Bursa Malaysia.
Kumpulan itu berkata, tawaran IPO itu melibatkan terbitan awam sebanyak 54.66 juta saham biasa baharu dan 25.31 juta saham sedia ada untuk ditawarkan di bawah tawaran untuk jualan, secara kolektif mewakili 39.5% daripada modal saham terbitan yang diperbesarkan.
Daripada saham IPO itu, sejumlah 10.12 juta saham terbitan, diagihkan antara pelabur Bumiputera dan bukan Bumiputera (5% daripada modal saham terbitan yang diperbesarkan) manakala sejumlah 1.55 juta saham diperuntukan kepada pengarah dan pekerja yang layak.
Sejumlah 42.99 juta saham disediakan untuk penempatan persendirian kepada pelabur terpilih dan sejumlah 25.31 juta saham ditawarkan melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih.
Pengarah Urusan RichTech, Lee Teik Keong berkata, perjanjian itu membolehkan mereka membawa perkhidmatan kumpulan ke tahap yang lebih tinggi sambil mengukuhkan keupayaan untuk memenuhi permintaan pasaran.
"Dengan dana yang dikumpul, kami akan menumpukan pada mengembangkan platform SRS kami, meningkatkan infrastruktur teknologi dan memperkenalkan perkhidmatan inovatif untuk memenuhi keperluan pengguna yang semakin berkembang," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Kumpulan itu akan menggunakan hasil IPO bagi memacu pertumbuhan dalam pengagihan tambah nilai elektronik dan penyediaan perkhidmatan pembayaran bil, termasuk usaha pemasaran untuk mengembangkan pangkalan korporat serta menggunakan hasil untuk tujuan modal kerja am.
Sebahagiannya akan digunakan bagi membiayai pemerolehan pejabat baharu untuk menyatukan ibu pejabat dan cawangannya di bawah satu bumbung, meningkatkan profil korporat dan kecekapan operasi.
Bakinya akan menampung perbelanjaan penyenaraian yang berkaitan dengan penyenaraian di Pasaran ACE.
KAF Investment Bank merupakan penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan.- DagangNews.com