KUALA LUMPUR 22 Nov - Rizab antarabangsa Malaysia meningkat kira-kira AS$400 juta bersamaan RM1.79 bilion menjelang pertengahan November 2024.
Bank Negara Malaysia (BNM) berkata, rizab antarabangsa terkini berjumlah AS$118 bilion pada 15 November 2024.
"Kedudukan rizab itu memadai untuk membiayai 4.6 bulan import barangan dan perkhidmatan, mewakili 0.9 kali jumlah hutang luar negeri jangka pendek.
"Hutang luar negeri jangka pendek itu terdiri daripada pinjaman daripada bukan pemastautin dengan tempoh matang satu tahun atau kurang.
"Kebanyakannya pinjaman dari bank pemastautin untuk operasi mudah tunai mata wang asing (forex) mereka serta syarikat multinasional, termasuk bank asing.
“Obligasi ini boleh dipenuhi dalam operasi biasa daripada pegangan aset luar mereka dan tidak menimbulkan sebarang tuntutan ke atas rizab antarabangsa BNM,” kata bank pusat itu.
Rizab mata wang asing meningkat kepada AS$105 bilion daripada AS$104.6 bilion pada akhir Oktober manakala kedudukan rizab di Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) tidak berubah pada AS$1.3 bilion.
Hak pengeluaran aset rizab yang dikekalkan oleh IMF berdasarkan sekumpulan mata wang juga stabil pada AS$5.9 bilion dan tiada perubahan dalam nilai pegangan emasnya pada AS$3.3 bilion.
Aset rizab lain tidak berubah pada AS$2.5 bilion.- DagangNews.com