Sarawak luluskan FDI bernilai RM31.8 bilion dalam industri teknologi tinggi dari 2019–2023 | DagangNews Skip to main content

Sarawak luluskan FDI bernilai RM31.8 bilion dalam industri teknologi tinggi dari 2019–2023

Kilang Silikon Polikristalin OCIM di Taman Perindustrian Samalaju di Bintulu, Sarawak. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR 12 Nov - Kerajaan Sarawak meluluskan pelaburan langsung asing (FDI) berjumlah RM31.8 bilion untuk industri berteknologi tinggi merangkumi elektrik dan elektronik (E&E), kimia, dan logam hijau bagi tempoh 2019 hingga 2023.

 

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED) Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh berkata sehingga kini, 10 daripada projek pelaburan ini telah dilaksanakan.

 

“Kerajaan Sarawak juga akan bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan untuk membangunkan Sarawak sebagai hab aeroangkasa dan semikonduktor,” katanya menjawab soalan ADUN Beting Maro Razaili Gapor semasa sesi soal jawab di Dewan Undangan Negeri Sarawak hari ini.

 

Beliau juga berkata, projek industri berteknologi tinggi yang telah dilaksanakan berjumlah RM9.3 bilion, terdiri daripada lima projek dalam bidang elektrik dan elektronik, tiga projek dalam kimia, dan dua projek dalam industri logam hijau.

 

 

DUN Sarawak

 

 

Bagi mempercepatkan pembangunan dalam menyokong industri berteknologi tinggi, Mussen menjelaskan kementeriannya sedang membangunkan Dasar Pelaburan Sarawak bertujuan untuk mewujudkan strategi dan pelan tindakan untuk meningkatkan daya tarikan Sarawak sebagai destinasi pelaburan pilihan.

 

“Kerajaan Sarawak menggalakkan kerjasama strategik dengan institusi teknikal, pusat penyelidikan, institusi pengajian tinggi, dan industri khusus seperti semikonduktor dan aeroangkasa untuk memacu inovasi dan pembangunan teknologi.

 

“Sehubungan itu, kerajaan Sarawak melalui Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) telah mewujudkan Kotak Pasir Teknologi dan Inovasi sebagai pusat ujian bagi teknologi baharu merentasi pelbagai sektor.

 

“SDEC juga menyediakan platform melalui SDEC Technology Accelerator, Digital Village Accelerator, dan Founder’s Forge untuk membangunkan dan mengkomersialkan teknologi melalui syarikat permulaan,” tambahnya.

 

Selain itu, beliau berkata kerajaan Sarawak memberi tumpuan kepada pendidikan TVET, menawarkan latihan dalam bidang seperti kejuruteraan elektrik, teknologi automotif dan aeroangkasa.

 

“Sarawak adalah satu-satunya wilayah yang akan menawarkan pendidikan tinggi percuma kepada semua pelajar Sarawak menjelang 2026, mengutamakan kursus teknikal dan kewangan seperti kejuruteraan, perakaunan, analisis siber, dan sains komputer,” tegasnya. - DagangNews.com