SME bank sambut baik 10 inisiatif strategik bernilai RM1.17 bilion dalam Belanjawan 2025 | DagangNews Skip to main content

SME bank sambut baik 10 inisiatif strategik bernilai RM1.17 bilion dalam Belanjawan 2025

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 22 Okt – Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Berhad (SME Bank) menyambut baik 10 inisiatif strategik bernilai RM1.17 bilion yang diumumkan dalam Belanjawan Negara 2025 baru-baru ini, seperti yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

 

Inisiatif-inisiatif tersebut adalah selaras dengan komitmen kerajaan untuk memperkasakan lagi daya tahan ekonomi negara serta memupuk pertumbuhan yang mampan dan inklusif. 

 

Pemangku Presiden Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Datuk Dr. Mohammad Hardee Ibrahim berkata, Belanjawan 2025 yang merangkumi pelbagai inisiatif dengan nilai keseluruhan RM421 bilion, adalah sejajar dengan usaha terus kerajaan Madani untuk memupuk daya tahan negara. 

 

Katanya, pendekatan itu menzahirkan sentimen ekonomi negara yang positif dengan pelbagai langkah yang diperkenalkan bertujuan merangsang pertumbuhan ekonomi keseluruhan, terutamanya segmen afirmatif utama. 

 

"Kami amat memuji komitmen kerajaan dalam memperkasakan segmen perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dengan penerusan dana sedia ada Bank Negara Malaysia, di samping skim jaminan oleh Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Berhad yang merentasi bidang keutamaan seperti segmen Bumiputera, teknologi tinggi & ESG, halal dan pelancongan serta Skim Pembiayaan Teknologi Hijau (GTFS). 

 

"Ini merupakan antara kategori pertumbuhan di mana kita boleh terus memanfaatkannya untuk menyokong fokus kerajaan pada masa hadapan," katanya dalam satu kenyataan. 

 

Dr. Mohammad Hardee menyifatkan, pihaknya bangga kerana diamanahkan dengan 10 inisiatif berjumlah RM1.17 bilion dalam Belanjawan Negara 2025. 

 

"Ini mengukuhkan mandat kami untuk mencipta nilai di seluruh ekosistem PMKS dengan memberi penyelesaian pembiayaan yang komprehensif dan tawaran tambahan. 

 

"Kami telah mengenal pasti bidang strategik utama termasuk sektor teknologi, pelancongan, halal dan sektor yang berkaitan ESG, bersama-sama dengan segmen afirmatif lain yang memainkan peranan penting dalam pertumbuhan ekonomi mampan jangka panjang negara, terutamanya dalam memperkasakan usahawan wanita," ujar beliau. 

 

Beliau dalam pada itu berkata, bidang-bidang strategik utama juga merupakan sebahagian daripada strategi bank untuk memenuhi keperluan segmen yang maju di bawah Rangka Kerja Pengukuran Prestasi BNM (PMF) yang memberi penekanan kepada Institusi Kewangan Pembangunan (DFI) untuk menggalakkan impak pembangunan yang lebih besar. 

 

Dr. Mohammad Hardee berkata, menyokong agenda Industry4WRD, SME Bank akan menawarkan pembiayaan sebanyak RM400 juta untuk sektor PMKS yang sedang beralih ke arah transformasi teknologi, di samping mengetengahkan lagi komitmen bank untuk memupuk generasi juara serantau akan datang dengan menggerakkan pembiayaan sebanyak RM200 juta untuk memperkasakan segmen PMKS Bumiputera mengembangkan jejak serantau mereka. 

 

"Ini adalah selaras dengan inisiatif pembinaan kapasiti bernilai RM5 juta untuk menggalakkan lebih banyak aktiviti eksport, dengan tambahan RM2 juta yang akan diuruskan oleh anak Syarikat SME Bank, Centre for Entrepreneur Development and Research Sdn. Bhd. (CEDAR). 

 

"Kami berbesar hati kerana berpeluang menyokong fokus kerajaan untuk merangsang sektor-sektor utama yang memainkan penting kepada pertumbuhan ekonomi kita, termasuk pembiayaan bernilai RM200 juta untuk menyemarakkan sektor pelancongan, pembiayaan RM100 juta untuk memperkasakan usahawan wanita dan merapatkan jurang jantina serta pembiayaan RM100 juta untuk merangsang lebih banyak aktiviti dalam sektor berkaitan ESG," tambah beliau.

 

Katanya, sejumlah RM100 juta turut disediakan bagi meningkatkan pertumbuhan segmen halal kepada PMKS yang berkaitan. - DagangNews.com