Strategi Semikonduktor Kebangsaan beri pendekatan lebih seimbang bangunkan pemain industri di peringkat global, kata RHB Investment | DagangNews Skip to main content

Strategi Semikonduktor Kebangsaan beri pendekatan lebih seimbang bangunkan pemain industri di peringkat global, kata RHB Investment

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Okt - Strategi Semikonduktor Kebangsaan (NSS) menyediakan pendekatan lebih seimbang bagi menghasilkan pemain industri berkualiti tinggi untuk bersaing di peringkat global, kata RHB Investment.

 

Katanya, Malaysia kini merupakan pengeksport semikonduktor keenam terbesar di dunia dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menyasarkan untuk melonjak ke kedudukan ketiga atau keempat.

 

Firma penyelidikan itu berkata, NSS direka untuk membantu mencapai matlamat tersebut melalui tiga fasa seperti membina asas kukuh negara yang sedia ada, bergerak ke sempadan dan berinovasi bagi memastikan pertumbuhan yang mampan.

 

"Menyokong cita-cita ini ialah pelbagai insentif yang diperkenalkan, termasuk status perintis, elaun cukai pelaburan, pengecualian duti import dan elaun pelaburan semula," katanya dalam atu nota kajian, hari ini.

 

RHB Investment berkata, kementerian mempunyai sasaran pelaburan RM500 bilion dengan sasaran bergerak lima hingga 10 tahun.

 

Katanya, tumpuan tidak terhad kepada reka bentuk litar bersepadu (IC) tetapi juga termasuk peralatan pembuatan semikonduktor, pembungkusan termaju dan proses semikonduktor bahagian hadapan.

 

Pelaburan juga boleh diperluaskan kepada bahan kimia, peralatan dan bahan khusus.

 

"Dari segi sokongan fiskal, RM25 bilion telah diperuntukkan untuk insentif fiskal dan perbelanjaan pembangunan untuk menyokong pusat atau kemudahan pembungkusan yang lebih maju," katanya.

 

Firma penyelidikan mengenal pasti tiga isu utama NSS iaitu daya tahan rantaian bekalan, memastikan daya saing kos dan sumber bakat.

 

“Bagi menangani jurang bakat, inisiatif seperti Penyelidikan Kolaboratif dalam Kejuruteraan, Sains dan Teknologi (CREST) ​​diperkenalkan, bekerjasama dengan institusi pengajian tinggi untuk menyalurkan sumber dengan lebih berkesan.

 

"Terdapat juga keperluan untuk mencipta pakej menarik untuk menarik bakat ke dalam sektor itu, memastikan industri mempunyai tenaga kerja yang diperlukan untuk berkembang," katanya. - DagangNews.com