Syarikat pertahanan Korea LIG Nex1 buka pejabat di Kuala Lumpur, intai peluang kerjasama | DagangNews Skip to main content

Syarikat pertahanan Korea LIG Nex1 buka pejabat di Kuala Lumpur, intai peluang kerjasama

LIG Nex1 merupakan antara syarikat pertahanan utama Korea Selatan.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 9 Nov - Malaysia dilihat menjadi lokasi penting bagi industri pertahanan Korea Selatan apabila syarikat LIG Nex1 membuka pejabat operasinya di Kuala Lumpur.

 

Ia merupakan pejabat operasi kedua syarikat pertahanan itu di rantau ini selepas Indonesia dan menjadi pejabat operasi antarabangsa keenam.

 

LIG Nex1 mempunyai pejabat antarabangsa di Amerika Syarikat, Emiriah Arab Bersatu, Arab Saudi dan Amerika Latin.

 

 

Menurut laporan laman media pertahanan Defence Security Asia, pembukaan pejabat di Kuala Lumpur menandakan kerjasama yang lebih erat di antara kedua-dua negara dalam bidang pertahanan.

 

 

Kapal
Ketua Pegawai Eksekutif LIG Nex1, Ickhyun Shin (empat dari kanan) bersama Mohd Yani Daud (empat dari kiri) dan Affendi (tiga dari kanan) pada majlis perasmian pejabat operasi LIG Nex1 di Kuala Lumpur.
 

 

LIG Nex1 merupakan antara pemain utama industri pertahanan Korea Selatan dengan pelbagai produk pertahanan yang berkemampuan tinggi.

 

Laporan itu juga menyebut, Ketua Pegawai Eksekutif LIG Nex1, Ickhyun Shin berkata, Malaysia adalah pasaran penting bagi syarikat itu di rantau Asia Tenggara.

 

Sehubungan itu, pihaknya mahu menjalin kerjasama yang lebih erat dengan pemain-pemain industri pertahanan tempatan.

 

Selain Ickhyun Shin, perasmian pejabat syarikat LIG Nex1 di Kuala Lumpur dihadiri Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Mohd Yani Daud dan Duta Korea Selatan ke Malaysia Yeo Seung-Bae.

 

 

Kapal

 

Kapal

 

Turut hadir adalah bekas Panglima Angkatan Tentera, Jeneral (B) Tan Sri Affendi Buang dan Pengarah Serantau Pejabat LIG Nex1 Malaysia, Daniel Lee.

 

Difahamkan, LIG Nex1 bakal terlibat dalam program kapal misi pesisir (LMS) Batch 2 Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menerusi pembekalan sistem pertahanan udara kapal.

 

LIG Nex1 merupakan penyedia sistem peluru berpandu K-SAAM (Korean Surface to Anti Air Missile) yang hendak dilengkapkan pada ketiga-tiga buah LMS tersebut.

 

Walaupun belum ada kenyataan rasmi berhubung perkara ini, namun berdasarkan maklumat yang dipaparkan kapal LMS TLDM mempunyai sistem peluru berpandu pertahanan udara lancaran menegak dengan ciri-ciri seperti K-SAAM.

 

Setiap kapal LMS Batch 2 TLDM akan mempunyai 16 silo Vertical Launch System (VLS) untuk melancarkan peluru berpandu tersebut.

 

 

Kapal
Sistem peluru berpandu K-SAAM.

 

Peluru berpandu ini telah digunakan pada kapal-kapal perang moden Korea Selatan.

 

K-SAAM yang dibangunkan LIG Nex1 dan Peluru Agency for Defence Development (ADD) Korea Selatan dengan kelajuan Mach 2 boleh mengenai sasaran sejauh 20 kilometer.

 

Selain K-SAAM, LMS Batch 2 dilengkapkan dengan sistem peluru berpandu antikapal ATMACA buatan Türkiye.

 

Mengikut perancangan, TLDM akan memiliki lima lagi kapal LMS Batch 2 dengan jumlah kesemuanya adalah lapan, dan jika rekabentuk ADA menjadi pilihan maka peluang niaga industri pertahanan terlibat adalah besar.

 

Jadi, keputusan LIG Nex1 membuka pejabat operasinya di Kuala Lumpur bukan percaturan biasa tetapi setelah mengkaji ruang kerjasama yang boleh dimainkan di sini.

 

Kapal
Sistem pertahanan udara KM-SAM buatan Korea Selatan.

 

Pada masa sama, syarikat Korea Selatan ini juga dikatakan sedang mengintai peluang untuk terlibat dalam program membekalkan sistem pertahanan udara jarak sederhana (MRAD) untuk Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

 

MRAD masih belum diputuskan kerajaan, tetapi TUDM telah menetapkan rancangan untuk mendapatkan sistem persenjataan ini dalam CAP55 iaitu antara tahun 2030 hingga 2040. - DagangNews.com