Syarikat pewangi udara, Vanzo sasar kumpul RM14 juta daripada IPO Pasaran ACE Bursa Malaysia | DagangNews Skip to main content

Syarikat pewangi udara, Vanzo sasar kumpul RM14 juta daripada IPO Pasaran ACE Bursa Malaysia

Gambar: The Edge

KUALA LUMPUR 27 Nov - Vanzo Holdings Bhd menyasarkan untuk mengumpul RM14 juta melalui tawaran awam permulaan (IPO) menjelang penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 17 Disember 2024.

 

Syarikat pewangi udara tempatan itu berkata, IPO itu melibatkan terbitan awam sebanyak 93 juta saham baharu pada harga 15 sen sesaham.

 

Berdasarkan modal saham syarikat yang diperbesarkan sebanyak 466.75 juta saham, permodalan pasarannya akan menjadi kira-kira RM70 juta.

 

Hasil IPO itu akan membolehkan syarikat itu melabur bagi pengembangan fasa perniagaan seterusnya.

 

"Vanzo memperuntukkan 47.2% daripada hasil untuk pengembangan perniagaan dan aktiviti pemasaran, 21.4% bagi membayar balik pinjaman bank dan selebihnya untuk modal kerja (5%) dan perbelanjaan berkaitan penyenaraian (26.5%)," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Vanzo berkata, pengembangan itu termasuk rancangan penubuhan empat kiosk runcit baharu bagi meningkatkan keterlihatan jenama dan pangkalan pelanggan kumpulan.

 

Pengarah Eksekutif dan Pengarah Urusannya, Allan Wong berkata, syarikat itu merancang untuk membuka empat kiosk pada 2026 di negeri berbeza.

 

"Buat masa ini, kami menyasarkan empat negeri, Sabah, Johor Bahru, Pulau Pinang dan di suatu tempat di Lembah Klang. Tetapi kami tidak mempunyai lokasi khusus," katanya pada pelancaran prospektus syarikat itu di sini hari ini.

 

Syarikat itu akan memberi tumpuan kepada tiga strategi dan rancangan utama untuk mengekalkan perniagaannya, termasuk mengukuhkan kehadiran Vanzo, jenama dan meningkatkan jangkauan pengedarannya, katanya.

 

Sehingga kini, syarikat itu telah memasarkan dan menjual 12 siri produk wangian kereta dan dalaman serta empat produk penjagaan diri dan isi rumah dengan 28 bauan, dengan Vanzo memiliki 12 formulasi.

 

Melalui IPO itu, Vanzo akan menerbitkan 23.34 juta saham baharu kepada orang ramai, tambahan 23.34 juta saham kepada pengarah, pekerja dan individu yang layak yang menyumbang kepada kejayaan syarikat, dan 46.68 juta saham kepada pelabur terpilih melalui penempatan persendirian.

 

Tempoh permohonan IPO Vanzo bermula hari ini. Ia ditutup pada pukul 5 petang, 4 Disember 2024.

 

M&A Securities Sdn Bhd merupakan penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan IPO. - DagangNews.com