KUALA LUMPUR 18 Nov - Untung bersih CelcomDigi Bhd pada suku ketiga berakhir 30 September 2024 (3QFY24) menyusut 4.1% kepada RM440.49 juta berbanding RM458.79 juta bagi suku sama tahun sebelumnya tetapi 5.8% lebih tinggi berbanding suku sebelumnya.
Prestasi itu disokong momentum kukuh dalam transformasi dan integrasi perkhidmatan yang dilaksanakan kumpulan.
Syarikat telekomunikasi itu juga menunjukkan kemajuan kukuh dalam inisiatif integrasi dan transformasi merangkumi runcit, rangkaian dan teknologi maklumat (IT) yang meningkatkan pengalaman pelanggan dan merealisasikan sinergi.
Bagi suku berkenaan, kumpulan itu turut mencatatkan keuntungan sebelum faedah dan cukai (EBIT) sebanyak RM771 juta, meningkat 17.7% suku ke suku dengan pertumbuhan prestasi kumpulan disokong oleh penambahan 92,000 pelanggan pascabayar, walaupun terdapat pengurangan pelanggan prabayar sebanyak 105,000 akibat konsolidasi kad SIM.
Pada suku ketiga 2024, perniagaan pascabayar meningkat 0.7% suku ke suku, dipacu oleh pelan konvergen, penambahan talian keluarga, dan kontrak peranti yang lebih tinggi, mengimbangi penurunan dalam segmen prabayar sebanyak 1.4% disebabkan pengurangan pelanggan kerana penyatuan kad SIM dwi.
Dalam perniagaan kediaman dan fiber, CelcomDigi mencatat pertumbuhan dua angka dalam hasil (18.2 peratus), dengan 19,000 pelanggan baharu mendaftar untuk pelan konvergens CelcomDigi ONE.
Perniagaan korporat pula menunjukkan pertumbuhan kukuh dengan peningkatan pelanggan dan penyelesaian teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) sebanyak 14.1% tahun ke tahun.
"Dari aspek perbelanjaan modal, CelcomDigi telah membelanjakan RM384 juta pada suku ketiga 2024, dalam usaha memacu inisiatif integrasi rangkaian dan IT.
"Bagi tempoh sembilan bulan 2024, CelcomDigi meraih pendapatan berjumlah RM9.4 bilion, manakala keuntungan bersih berada pada RM1.23 bilion," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sementara itu, CelcomDigi telah memodenkan lebih 10,500 tapak rangkaian, mencapai 70% daripada sasaran integrasi rangkaian pada akhir Oktober 2024.
Menurut CelcomDigi, peningkatan itu melonjakkan kualiti pengalaman pelanggan dengan sasaran 75% selesai menjelang akhir tahun.
Ketua Pegawai Eksekutif CelcomDigi, Datuk Idham Nawawi berkata, prestasi suku ketiga adalah hasil fokus terhadap pertumbuhan mampan, pengurusan kos yang berdisiplin dan kejayaan merealisasikan sinergi daripada penggabungan syarikat.
"Kami terus memberikan nilai terbaik kepada pelanggan sambil meningkatkan pengalaman mereka dengan rangkaian yang dipertingkatkan dan pendekatan 'digital sepenuhnya' di kedai runcit moden kami.
"Sedang kami dalam proses menjadi syarikat yang mengutamakan kecerdasan buatan (AI), kami terus melabur dalam inovasi dan penyelesaian 'di luar ketersambungan' sebagai enjin pertumbuhan kami.
"Keutamaan kami kekal dalam menyampaikan perkhidmatan sambungan 4G/5G yang mantap dan cekap serta rumusan AI kepada pengguna dan perusahaan, serta memajukan pembangunan negara menjadi masyarakat digital yang dikuasakan 5G-AI," katanya.- DagangNews.com