Untung bersih Kerjaya Prospek melonjak 30% kepada RM46.09 juta, isytihar dividen 7 sen  | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Kerjaya Prospek melonjak 30% kepada RM46.09 juta, isytihar dividen 7 sen 

Kerja prospek berkata, kenaikan untung bersih sebanyak 29.6% tahun-ke-tahun (YoY) kepada RM46.09 juta pada 3QFY24 itu dipacu oleh segmen pembinaan / Gambar dari Facebook Kerjaya Prospek
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 27 Nov - Kerjaya Prospek Group Bhd mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM46.09 juta, meningkat 30% pada suku ketiga berakhir 30 September 2024 (3QFY24) serta mengisytiharkan dividen tujuh sen kepada pemegang saham.

 

Kerjaya Prospek mengumumkan dividen interim tiga sen dan dividen khas empat sen bagi suku tersebut.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata, kenaikan untung bersih sebanyak 29.6% tahun-ke-tahun (YoY) kepada RM46.09 juta pada 3QFY24 itu dipacu oleh segmen pembinaan.

 

Hasil segmen itu meningkat 41.6% kepada RM487.3 juta didorong kemajuan yang bertambah baik merentasi projek pembinaan yang sedang dijalankan.

 

Bagi suku tersebut, hasil segmen pembinaan meningkat 39.4% YoY kepada RM504.84 juta berbanding dengan RM362.23 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas dibantu kemajuan kerja pembinaan yang bertambah baik.

 

Mengulas tentang prestasi kewangan pada 3QFY24, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Kerjaya, Tee Eng Tiong berkata, prestasi tersebut menggariskan ketahanan operasi kumpulan.

 

"Dengan kedudukan kewangan yang kukuh akan membantu kami menceburi peluang baharu sambil memacu momentum dalam perniagaan pembinaan teras.

 

"Pada masa yang sama, kami akan mengembangkan segmen pembangunan hartanah melalui Rivanis Ventures Sdn Bhd iaitu usaha sama kami dengan Aspen Vision Development Sdn Bhd, bagi membangunkan projek pembangunan bercampur seluas 14.57 hektar di Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang.

 

"Projek ini akan melengkapkan portfolio pelbagai kami dan meningkatkan prospek pertumbuhan jangka panjang," katanya.

 

Bagi tempoh kumulatif berakhir 30 September 2024 (9MFY24), keuntungan bersih Kerjaya meningkat kepada RM116.73 juta berbanding RM96.55 juta setahun lalu.

 

Ia mencatatkan hasil yang lebih tinggi sebanyak RM1.24 bilion berbanding RM968.75 juta tahun lepas.

 

Melangkah ke hadapan, kumpulan itu akan menumpukan kepada segmen pembinaan untuk menjadi pemacu hasil utama kumpulan itu.

 

"Walaupun kumpulan menyasar untuk mengembangkan perniagaan terasnya dalam segmen pembinaan, kami berhasrat untuk mengekalkan segmen pembuatan bagi melengkapkan perniagaan teras," katanya. - DagangNews.com