Tesla dijangka meneruskan pelaburan di Selangor, kata MB | DagangNews Skip to main content

Tesla dijangka meneruskan pelaburan di Selangor, kata MB

Oleh BERNAMA

SHAH ALAM 14 Ogos - Kerajaan Selangor mengalu-alukan rancangan pelaburan berterusan Tesla Inc di negeri ini pada masa depan, khususnya berkaitan penyelidikan dan pembangunan, serta pembukaan pusat servis kenderaan elektrik (EV).

 

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata jemputan itu sejajar dengan hasrat pemilik Tesla, Elon Musk untuk meluaskan pasaran syarikat di rantau Asia.

 

Beliau berkata setakat ini, syarikat EV gergasi itu telah membuka beberapa operasi di Selangor iaitu pembukaan ibu pejabatnya di Cyberjaya selain pusat pengecasan.

 

"Ibu pejabat dan pusat pengecasan sudah ada. Ia mungkin akan membuka pusat servis selepas ini kerana mahu meluaskan pasarannya di Asia," katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan mengatakan Tesla membatalkan rancangan untuk membangunkan kilang di Thailand baru-baru ini.

 

 

mb selangor
                                        Datuk Seri Amirudin Shari

 

 

Setakat ini, Tesla telah membangunkan empat pusat pengalaman di Malaysia dan syarikat automotif multinasional itu juga telah melepasi sasarannya dengan memasang 52 unit pengecas segera dengan kapasiti lebih 180 kW di pelbagai tempat di Lembah Klang, Johor, Melaka, Pulau Pinang dan Pahang. 

 

Menteri besar berkata pada sidang media selepas melancarkan Program Tuisyen Rakyat Selangor 2024 bahawa kemasukan pelabur dalam sektor semikonduktor adalah luar biasa dan kerajaan negeri bersedia untuk membangunkan taman reka bentuk litar bersepadu (IC) kedua, dengan kuota di taman IC pertama dijangka akan penuh tidak lama lagi. - DagangNews.com