Texchem Resources cadang peroleh1.4 juta saham dalam Sushi King bernilai RM102.2 juta | DagangNews Skip to main content

Texchem Resources cadang peroleh1.4 juta saham dalam Sushi King bernilai RM102.2 juta

KUALA LUMPUR 19 Jan - Texchem Resources Bhd. (TRB) menerusi anak syarikat milik penuhnya, Sushi King Holdings Sdn. Bhd. memeterai perjanjian pemindahan saham (STA) dengan Asia Yoshinoya International Sdn. Bhd. (AYI) untuk memperoleh 1.4 juta saham biasa dalam Sushi King Sdn. Bhd. 

 

Ia mewakili 28% daripada jumlah terbitan modal saham Sushi King membabitkan pertimbangan tunai berjumlah RM102.2 juta, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini. 

 

Kumpulan itu berkata, cadangan pengambilalihan ini akan menyediakan peluang kepada kumpulan TRB untuk meningkatkan sumbangan pendapatan menerusi segmen restoran. 

 

Katanya, ia juga membolehkan Sushi King memperkukuhkan proses membuat keputusan, lebih fleksibiliti, memudahkan dan membolehkan Sushi King merancang strategi perniagaannya dengan pantas.

 

"Oleh itu, ini membenarkan Sushi King beroperasi dengan lebih efektif dan efisien dari segi pelaksanaan pertumbuhan strategi dan operasi.

 

"Melihat kepada perkara ini, lembaga pengarah optimis dengan prospek cadangan pengambilalihan ini pada masa akan datang," katanya. 

 

Langkah itu akan dibiayai menerusi gabungan pembiayaan bank dan atau dengan menjana dana dalaman. 

 

Malah, cadangan pengambilalihan ini tidak memberi kesan kepada terbitan modal saham dan pemegangan saham utama kumpulan. 

 

Menurut TRB, tanpa sebarang perkara di luar jangkaan, cadangan itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan pendapatan sesaham kumpulan pada masa hadapan.

 

"Ia tertakluk kepada kelulusan pemegang saham TRN yang dijangka diperoleh pada separuh pertama 2022<" tambahnya. - DagangNews.com