TH Plantations lantik Mohamed Zainurin Mohamed Zain sebagai CEO baharu | DagangNews Skip to main content

TH Plantations lantik Mohamed Zainurin Mohamed Zain sebagai CEO baharu

Oleh NABILA YASMIN RAZIB

[email protected]

 

KUALA LUMPUR 1 Okt. - TH Plantations Bhd mengumumkan pelantikan Mohamed Zainurin Mohamed Zain sebagai Ketua Pegawai Eksekutif baharu berkuat kuasa 1 Oktober. 

 

Dalam satu kenyataan, syarikat itu memaklumkan Mohamed Zainurin adalah pengawal kewangan New Britain Palm Oil Ltd, anak syarikat Sime Darby Plantation Bhd di Papua New Guinea.

 

"Beliau mempunyai pengalaman lebih dari 30 tahun dalam pelbagai sektor korporat, sebelum ini berkhidmat sebagai Naib Presiden Kanan Unit Agrifood di Khazanah Nasional Bhd dan memegang beberapa jawatan kanan di anak syarikat dan usaha sama Khazanah," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Mohamed Zainurin memiliki Ijazah Sarjana Muda Perakaunan (Kepujian) dari Universiti Utara Malaysia. Beliau merupakan akauntan bertauliah dan ahli Institut Akauntan Malaysia (MIA) serta Akauntan Amalan Bertauliah (CPA) Papua New Guinea.

 

Sementara itu TH Plantation turut memaklumkan pelantikan Shahrizal Suhainy sebagai Ketua Pegawai Kewangan (CFO) kumpulan.

 

Shahrizal merupakan juruaudit utama KPMG Desa Megat & Co dengan pengalaman lebih dari 12 tahun dalam pengauditan dan penstrukturan semula syarikat untuk pelbagai industri.



Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Perakaunan (Kepujian) dari Universiti Teknologi MARA. Dia juga merupakan akauntan bertauliah dan ahli Institut Akauntan Malaysia (MIA).

 

"Ahli Lembaga Pengarah mengalu-alukan pelantikan Mohamed Zainurin dan Shahrizal dan berharap agar pelantikan mereka dapat mendorong momentum rancangan pemulihan TH Plantation

 

"Lembaga Pengarah juga mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Muzmi Mohamed, yang telah menyelesaikan tugasnya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif pada 30 September 2021, atas kepemimpinan, komitmen dan usaha beliau dalam memacu pelan pemulihan strategik kumpulan walaupun dalam tempoh yang mencabar," katanya. -DagangNews.com